Thursday, February 17, 2011

Dtembak

Remaja ditembak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
TUMPAT 16 Feb. – Seorang remaja parah setelah terkena dua das tembakan ketika cuba menyerang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang dikatakan membelasah bapa saudaranya sehingga mati.

Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ini apabila remaja itu datang ke Hospital Tumpat (HT) di sini, bersama sekumpulan rakannya lalu bertindak menyerang empat anggota UPP yang berpakaian preman di sebuah kedai makan.

Berikutan itu berlaku pergelutan dan bagi mempertahankan diri, anggota tersebut telah melepaskan dua das tembakan yang mengenai remaja tersebut, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum kejadian, empat anggota itu telah menahan sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan di Kampung Tin dekat sini hari ini.

Katanya, penahanan pukul 7.45 pagi itu dibuat setelah anggota-anggota terbabit mengesyaki kenderaan berkenaan membawa barangan seludup.

Tambahnya, kereta itu dipandu Said Mat Hassan, 56, yang merupakan bapa saudara Ahmad Nizamuddin.

“Menyedari dia diekori, Said melarikan diri dan ketika mengejar berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan 4WD (kenderaan pacuan empat roda) UPP mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja ditahan, anggota itu melihat mulut Said berbuih dan mukanya dalam keadaan pucat lalu dia dibawa ke HT untuk rawatan. Namun dia meninggal dunia sejurus sampai di hospital.

“Sejurus dibawa masuk untuk pemeriksaan, anggota-anggota itu keluar dan minum di kedai di hadapan hospital sementara pemeriksaan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pada masa sama, lima buah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki datang ke kedai berkenaan dan terus menyerang anggota tersebut.

Katanya, tiga daripada anggota itu berjaya meloloskan diri.

“Seorang lagi iaitu anggota dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang ditugaskan di bawah UPP terus dibelasah dengan cota dan sebagainya.

“Ekoran itu, anggota tersebut cedera di kepala dan bagi mempertahankan diri, dia melepaskan dua das tembakan dan mengenai Ahmad Nizamuddin di perut dan dada kanan,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit kemudian dibawa ke HT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan kini keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kancil tersebut menemui 20 kampit beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Menurut Abdul Rahim, anggota UPP tersebut turut mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Ibu terkejut lihat anak berlumuran darah

KOTA BHARU 16 Feb. - "Saya terkejut apabila mendengar dua das tembakan dan kemudian ternampak anak saya rebah serta kelihatan bajunya berdarah di bahagian rusuk kanan".

Demikian ujar Che Minah Che Mat, 48, ibu Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang terkejut melihat anaknya berlumuran darah akibat ditembak oleh seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pegawai itu bertugas di bawah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Pengkalan Kubor, Tumpat.

Menurut Che Minah, kejadian itu berlaku sebaik sahaja beliau sampai di pekarangan Hospital Tumpat (HT) pukul 9.10 pagi ini, untuk melihat abang iparnya, Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia.

Said didakwa dipukul oleh anggota UPP terbabit selepas disyaki terlibat dalam kes penyeludupan.

Kata Che Minah, apabila sampai, dia melihat sekumpulan lelaki berada di pekarangan hospital termasuk anaknya.

Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila terdengar bunyi dua das tembakan kira-kira 10 minit kemudian.

"Selepas mendengar tembakan tersebut, saya lihat Nizamuddin rebah serta berdarah di rusuk kanan. Dia terus dibawa ke unit kecemasan HT oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

"Anak saya kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pukul 11 pagi untuk rawatan dan mungkin pembedahan mengeluarkan peluru," katanya ketika ditemui di hospital tersebut di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.20 pagi ini, sekumpulan lelaki dikatakan telah menyerang anggota UPP apabila mendengar khabar angin mengatakan Said meninggal dunia kerana dibelasah anggota terbabit.

Sebelum itu, Said disahkan meninggal dunia selepas dibawa empat anggota UPP yang menahannya kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan.

Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu turut menemui 20 guni beras di dalam kenderaan yang dinaikinya.

Sementara itu, anak Said, Mohd Fazli, 24, berkata, dia tidak mendengar bunyi tembakan kerana ketika kejadian berada di Unit Forensik di belakang hospital tersebut.

"Saya tak dengar bunyi tembakan tetapi saya lihat keadaan menjadi kecoh lalu terus berlari ke arah hadapan hospital. Di sana saya lihat sepupu saya, Ahmad Nizamuddin berlumuran darah.

"Ketika itu saya tidak pasti apa yang berlaku sebelum dimaklum mengenai tembakan tersebut," ujarnya.

Menurut Mohd. Fazli, bapanya keluar dari rumah mereka kira-kira pukul 8 pagi dan dia yang baru pulang dari kedai berhampiran berselisih dengannya memandu kereta Perodua Kancil.

"Saya juga tidak pasti sama ada bapa dipukul kerana tidak dibenarkan masuk melihat keadaan jenazahnya. Setahu saya, bapa tidak mempunyai apa-apa penyakit kronik atau menerima rawatan daripada mana-mana hospital sebelum ini," jelasnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment