Tangan hampir putus dilibas pedang
KUALA TERENGGANU - Seorang penarik kereta hampir putus tangan setelah dilibas dengan pedang oleh seorang lelaki yang naik berang, gara-gara tidak dapat menerima hakikat keretanya terpaksa ditarik kerana bayaran tertunggak dalam satu kejadian di Tok Jiring di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 48 tahun, berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu parah setelah tangan kirinya dari paras bawah siku hampir putus.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.20 petang ketika mangsa dan lima rakannya yang lain menaiki kereta menuju ke kediaman suspek yang terletak di belakang sebuah sekolah di Tok Jiring.
Menurutnya, mangsa dan rakan-rakannya ke rumah suspek bagi tujuan menarik kereta suspek kerana sudah lima bulan tidak melunaskan bayaran kereta itu.
“Apabila sampai di rumah, mereka berjumpa dengan suspek dan menyerahkan surat kepadanya. Tiba-tiba, suspek keluar dengan membawa sebilah pedang, sebelum menetak mangsa sebanyak dua kali di tangan kirinya, sebelum melarikan diri dan rakan-rakannya membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, untuk mendapatkan rawatan,” katanya, semalam.
Menurut Manoharan, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi membolehkan tangannya disambung kembali dan dia kini dilaporkan stabil.
Berikutan kejadian itu, rakan mangsa yang berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Gomok, Tepuh membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, pada jam 7.50 malam.
“Suspek pula membuat laporan polis pada jam 9 malam di IPD Kuala Terengganu.
“Dia kemudiannya ditahan polis dan direman bermula hari ini (semalam) selama empat hari. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment