Saturday, February 19, 2011

Cekup Anak Berkhalwat

Cekup anak khalwat
Oleh Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Tindakan seorang gadis yang sanggup menipu bapanya kononnya dia mahu menghadiri rumah terbuka sempena Aidiladha akhirnya terbongkar apabila dia dan pasangannya dicekup berkhalwat, pagi semalam.

Lebih mengejutkan, gadis berusia 18 tahun itu dicekup bapanya sendiri bersama empat anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (Padal) di sebuah bilik sewa di Kampung Bendang Baru, Kuah, Langkawi pada jam 11.30 pagi semalam.


Ketua Operasi Padal, Shaiful Aswad Kasa berkata, gadis berasal daripada Pulau Tuba itu dikatakan menyewa bilik berkenaan semata-mata untuk membuktikan cinta kepada pasangannya yang baru berusia 16 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima bapa gadis itu, pihaknya bergegas ke lokasi terbabit dan membuat pemeriksaan di sebuah bilik yang didapati berkunci dari dalam.


“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang berpakaian lengkap membukanya dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.


“Gadis itu yang berada di dalam rumah itu terkejut apabila melihat kehadiran kami bersama bapanya menyebabkan dia lari bersembunyi di belakang pintu bilik kerana takut.


“Bagaimanapun, selepas diarahkan keluar dari tempat persembunyiannya itu, dia terpaksa akur dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi sebelum ke pejabat agama untuk siasatan lanjut,” katanya.


Shaiful berkata, gadis yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di sini itu memberi alasan hanya menemani adik ‘angkatnya’ makan di rumah itu tetapi perbuatan mereka mencurigakan apabila pintu ditutup rapat dan hanya mereka berdua berada di dalam bilik itu.


Beliau berkata, hasil siasatan mendapati remaja lelaki itu sudah berhenti sekolah dan membantu ibunya berniaga di kedai makan.


“Siasatan mendapati, pasangan itu baru berkenalan empat minggu lalu tetapi percintaan mereka berjaya dihidu bapanya sebelum menahan mereka.


“Berdasarkan rekod, gadis itu sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 1988 kerana berkelakuan tidak senonoh dengan pasangan lain di Pekan Rabu, di daerah ini pada bulan Ramadan lalu,” katanya.


Difahamkan, bapanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini mengambil keputusan untuk menikahkan pasangan itu kerana malu dengan perbuatan anaknya yang mencemar nama baiknya sendiri.


Gadis itu dikatakan berkali-kali merayu kepada bapanya supaya tidak memarahinya selain menginsafi perbuatannya sehingga dicekup berkhalwat pada hari kedua Aidiladha, semalam.


Shaiful berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) EKJSK 1988 kerana berkhalwat sehingga menimbulkan syak pada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.


“Kami juga masih melakukan siasatan lanjut terhadap kedua-dua mereka,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment