Tuesday, February 22, 2011

PATI Ambil Upah



Semak samun, denai kecil ibarat 'lubang tikus'
'Kami tertambat upahnya lumayan'

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Abdul Khadir Hussin (kiri) bersama pegawainya memeriksa sebahagian 34 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan dalam 'Ops Ladang' di kawasan ladang kelapa sawit dan getah di Lui Selatan, baru-baru ini.

JEMPOL 21 Feb. - Musyari, 47 dan kakaknya, Sumiarty, 50 serta seorang kenalan, Mat Zin, awal 50-an datang ke Malaysia dari Indonesia untuk mencari rezeki di satu kawasan ladang di Lui Selatan, dekat sini sebagai penebang pokok getah.

Sumiarty pula datang ke ladang di situ, kononnya untuk menyediakan makanan tengah hari adiknya, Musyari sebelum kesemua mereka ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, baru-baru ini.

''Bukan senang untuk mencari rezeki. Saya punyai seorang anak dan isteri di Jawa.

''Baru beberapa hari saya memasuki ladang ini untuk menebang pokok getah. Lagipun permit saya baru sahaja tamat tempoh," dakwa Musyari selepas ditahan pihak berkuasa Imigresen di ladang getah Lui Selatan, dekat sini.

Di ladang tersebut dianggarkan terdapat lebih 500 warga asing yang datang mencari rezeki berikutan kenaikan harga komoditi getah dan hasil perkayuannya.

Musyari mendakwa dia boleh memperoleh sekitar RM100 sehari hasil menebang pokok dan ia cukup untuk menyara kehidupan keluarganya di Jawa, Indonesia.

''Di sini banyak sumber rezeki. Kami kerja kuat dan lihatlah keadaan tangan saya ini, sudah 'menebal'," katanya.

Rata-rata warga asing yang bekerja di ladang Lui Selatan ini dilaporkan melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai sebarang dokumen atau pas yang sah selain melakukan kesalahan di bawah 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan permit.

Mereka merupakan antara 34 orang warga asing yang ditahan dalam Ops Ladang oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Mereka termasuklah tiga wanita warganegara Indonesia, selain empat orang daripada 34 yang ditahan turut dikesan tinggal lebih masa di negara ini.

''Upah tebang pokok getah itu bergantung kepada keadaan cuaca, kalau hujan macam mana hendak kerja," jelasnya.

Sementara itu, Sumiarty mendakwa dia berada di situ sejak beberapa hari lalu dan tinggal seketika di dalam pondok yang dibina dengan kayu getah beratapkan kanvas.

''Saya datang untuk masak makanan adik. Tolong lepaskan saya. Saya ada permit, tapi pasport ada pada majikan, tidak difotokopi," katanya.

Sumiarty memberikan pelbagai alasan selepas dicekup ketika cuba meloloskan diri bersama Musyari di dalam semak samun dekat ladang getah dan kelapa sawit di situ.

Manakala Mat Zin yang datang ke situ dari Mentakab, Pahang berkata, dia baru tiga hari datang ke situ untuk menebang pokok selepas mendapat kontrak berbuat demikian untuk tempoh enam bulan dari seorang tauke.

''Kalau saya tebang pokok akan dibayar RM6 untuk satu tan. Kalau rajin, saya boleh dapat lebih RM100 satu hari selepas ditolak rantai pemotong pokok yang rosak, minyak dan sebagainya.

''Anak saya ada dua orang dan tinggal di Mentakab, Pahang. Seorang bersekolah di SJK (Cina) di situ," katanya yang berasal dari Kepulauan Sembawang, Indonesia.

Seperti Sumiarty dan Musyari, Mat Zin juga memberikan pelbagai alasan agar diberikan peluang kerana wang hasil kerja di ladang itu kononnya untuk menyara kehidupan anak dan isteri, selain keluarga di Indonesia.

Apa pun alasan yang diberikan oleh mereka, lain pula halnya dengan lapan warga Kemboja yang turut ditahan dalam Ops Ladang itu.

Cham, 20-an berkata, dia sudah berada di situ sejak empat bulan lalu untuk mengambil upah menoreh dan mengumpulkan getah beku.

''Di negara saya susah. Di sini banyak kerja. Saya keluar awal pagi untuk menoreh dan pada pukul 12 tengah hari, kami mengumpul getah beku," katanya yang tidak mempunyai permit sah kerja di sektor perladangan.

Dengan bekas ubat nyamuk masih tergantung di seluarnya, Cham memberitahu, dia sedar bekerja di sini tanpa permit sah adalah salah, tetapi tawaran upah yang lumayan membuatkan dia melupakan segala ketakutan itu.

''Apa mahu kata, sekarang semuanya sudah habis," katanya kesal.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
PONDOK yang dibina dengan kayu getah beratapkan kanvas ditinggalkan kosong oleh warga asing selepas Jabatan Imigresen mengadakan 'Ops Ladang' di Lui Selatan, baru-baru ini.

JEMPOL 21 Feb. - Pada 11 Februari lalu, seorang warga negara Indonesia, Irfan, 20-an telah menerima bayaran hasil mengambil upah menoreh getah dan mengumpulkan getah beku daripada tauke di Lui Selatan, dekat sini sebanyak RM1,025.

Rakannya, seorang warganegara Kemboja, Moon juga berusia dalam lingkungan 20-an, telah menerima upah sebanyak RM696 pada 15 Februari lalu untuk kerja yang sama.

Dengan bayaran lumayan tertera pada dua resit berbeza itu, ditambah pula peningkatan nilaian hasil komoditi getah menyebabkan kawasan ladang di Lui Selatan ini menjadi 'lubuk rezeki' kepada lebih 500 warga asing yang berselerakan di situ.

''Saya tidak nafikan jumlah yang begitu besar kini mendiami kawasan pondok yang dibina di dalam ladang berkenaan dan angka itu boleh bertambah dengan tawaran lumayan yang dibuat oleh tauke di situ," kata Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Abdul Kadir Hussin kepada Utusan Malaysia di Lui Selatan, dekat sini, baru-baru ini.

Mereka telah dibayar upah menoreh getah dan mengumpulkan getah beku antara RM4 dan RM4.80 untuk setiap kilogram yang dibawa dengan motosikal tanpa nombor plat di situ.

Bayaran lain yang ditawarkan di situ ialah RM6 bagi satu tan pokok getah yang ditebang untuk hasil perkayuan.

Rata-rata warga asing ini datang dari pelosok negara ini terutamanya kawasan sempadan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Kata seorang rakyat tempatan yang enggan nama disiarkan, warga asing ini ibarat 'semut mencari gula'.

''Bila tahu ada kerja, berduyun mereka datang. Entah dari mana, apa yang kami tahu ladang di Lui Selatan ini sudah dipenuhi dengan warga asing dalam tempoh empat bulan lalu," katanya.

Kehadiran mereka dalam bilangan yang ramai itu membimbangkan penduduk sekitar, apatah lagi pondok setinggan berselerak dibina dalam ladang berkenaan, tanpa diketahui apa yang dilakukan mereka terutamanya pada waktu malam.

''Memang Jabatan Imigresen negeri ini menerima aduan dari penduduk yang tidak senang hati dengan kehadiran mereka termasuklah gangguan ketenteraman," kata Abdul Kadir.

Tinjauan Utusan Malaysia dalam operasi berkenaan, mendapati pondok setinggan itu telah dibina warga asing menggunakan ranting pokok getah dengan beratapkan kanvas, jauh di kawasan ladang berhampiran tali air yang terdapat di situ.

Dalam pondok berkenaan pula terdapat selimut, tong gas untuk memasak, bekalan air bersih yang dibawa dengan tong, keperluan makanan yang diperoleh di pekan berhampiran, selain makanan segera.

Turut dibina di situ tandas dan pada waktu malam pula, rata-rata warga asing ini menggunakan pelita, manakala di pondok yang lebih besar pula mereka menggunakan generator dan bateri kereta untuk menerangi kawasan di situ.

Apa yang mengejutkan, terlalu banyak 'lubang tikus' di ladang berkenaan serta denai kecil yang biasa digunakan warga asing ini untuk meloloskan diri daripada pihak berkuasa apabila serbuan dilakukan.

Kawasan berkenaan ketika ini sedang melalui proses menebang pokok getah untuk ditanam dengan kelapa sawit dan pokok getah sedia ada pula ditoreh terlebih dahulu sehingga ada yang menghampiri pucuk semata-mata untuk mendapatkan hasil lumayan.

Begitulah kisah Irfan dan Moon yang mendapat habuan lumayan itu dan Moon tidak fasih berbahasa Melayu, sementara Irfan pula terlalu banyak berahsia dengan matanya sentiasa menjeling ke arah anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• 'Kami tertambat upahnya lumayan'

No comments:

Post a Comment