Saturday, December 25, 2010

Bakar Bank Curi Duit

Bank terbakar RM200,000 lesap disiasat

SEREMBAN 24 Dis. - Polis akan menjalankan siasatan termasuklah mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung dakwaan kehilangan wang berjumlah RM200,000 selepas kebakaran di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Ampangan di sini, awal pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan berhubung kehilangan itu dibuat setelah pengurus bank berkenaan membuat laporan polis mendakwa wang tunai RM200,000 dalam peti simpanan bank itu lesap.

"Pengurus bank berkenaan terkejut apabila mendapati wang tersebut yang disimpan sehari sebelum kejadian telah lesap.

"Dia kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki wang itu dicuri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi Rabu lalu, tingkat bawah bangunan empat tingkat yang menempatkan cawangan BSN Ampangan musnah akibat kebakaran.

Ketika kejadian, bank berkenaan sedang menjalani proses pengubahsuaian sejak beberapa minggu lalu.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja lelaki yang berada di tingkat atas bangunan tersebut terperangkap namun mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Menurut Saiful Azly, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan berhubung kehilangan wang berkenaan.

"Buat masa ini kita masih menyiasat kehilangan wang berkenaan dan belum ada tangkapan dilakukan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment