Friday, December 17, 2010

Suap

Pegawai Imigresen terima suapan RM121,500

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Bekas Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan pas lawatan warganegara China, dua tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Yusof, 56.

Beliau menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, peguam Mohammed Azmi Mohd. Said merayu supaya hukuman anak guamnya diringankan kerana telah berkhidmat lebih 30 tahun dan akan bersara dalam tempoh dua tahun ini.

Menurutnya, selain mengidap diabetis, darah tinggi dan sakit jantung, seorang anak tertuduh telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi memohon hukuman setimpal kerana selaku majikan yang dihormati oleh pekerjanya, Yusof sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

Tertuduh didakwa pertama kali pada 14 Oktober 2008 atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah antara RM500 hingga RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan di antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu di sini.

Sebulan selepas itu, tertuduh didakwa pula atas empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM36,500 di Mahkamah Sesyen Klang.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Hentian Sebelah Serdang arah Utara, Kilometer 306, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini antara pukul 3.30 dan 3.45 petang, 29 April 2008.

Pada hari sama, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,500 di beberapa lokasi antara 21 Mac hingga 7 Julai 2008.

Kesemua kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Mahkamah mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan dan tertuduh membela diri tanpa saksi lain dalam perbicaraan yang bermula pada 22 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment