Sunday, December 26, 2010

Puyuh Bera

Bera pengeluar puyuh terbesar

BERA – Ternakan puyuh pedaging merupakan produk Satu Daerah Satu Indsutri (SDSI) di daerah ini dan sehingga kini Bera merupakan pengeluar terbesar di Pahang dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 400,000 ekor setahun, melibatkan 25 peserta.

:Pegawai Veterinar Daerah, Osman Yusof berkata, bagi meningkatkan pengeluarannya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar melaksanakan Projek Puyuh Pedaging di Felda Mayam melalui Projek Basmi Kemiskinan-KPI Menteri di Parlimen Bera.

Menurutnya, sebanyak RM682,000 diperuntukkan untuk projek itu melibatkan 65 peserta dalam kalangan penduduk miskin.

“Sasaran projek ini ialah untuk meningkatkan pendapatan peserta sebanyak RM200 sehingga RM250 sebulan.

“Saya yakin, melalui projek ini, peserta mampu mengeluarkan sebanyak 57,600 ekor puyuh pedaging setiap bulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Osman berkata, projek itu dilaksanakan secara mentor mentee, di mana sebuah syarikat pengeluar puyuh berpengalaman di Melaka menjadi mentor kepada peserta.

Katanya, sekiranya projek itu berjaya dilaksanakan, ia mampu menambah kapasiti pengeluaran puyuh pedaging daripada 400,000 ekor setahun kepada satu juta ekor setahun.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, Pejabat Veterinar Daerah telah memohon kepada Kerajaan Negeri melalui Rancangan Malaysia Ke-10 untuk membina Pusat Penetasan Puyuh Pedaging dengan anggaran peruntukan RM650,000.

“Kita yakin, jika projek ini berjaya, pusat berkenaan dapat mengeluarkan 20,000 ekor puyuh dalam sebulan dan secara tidak langsung, dapat mengurangkan penggantungan bekalan anak puyuh pedaging dari negeri lain.

“Sebenarnya, daerah ini mempunyai potensi yang cukup besar dalam membangunkan industri ternakan. Saya harap, daerah Bera tidak ketinggalan menerima sebarang bentuk projek dalam setiap perancangan Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) khususnya dalam sektor ternakan,” katanya.

Mengikut rekod, Bera juga merupakan daerah yang mempunyai populasi ternakan lembu terbanyak iaitu sebanyak 30,099 ekor, manakala pengeluar ayam daging dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1,722,000 ekor setahun.

No comments:

Post a Comment