Saturday, December 25, 2010

Tipu

Pasar raya didakwa tipu pengguna

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
pengarang@utsuan.com.my

MELAKA 24 Dis. – Yayasan Insan Melaka (YIM) mendedahkan ada pasar raya besar di negeri ini dikesan telah menipu pengguna dengan menjual barangan yang telah tamat tarikh luputnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, perbuatan itu dikesan setiap kali jualan musim perayaan yang menawarkan potongan harga bagi menarik pengguna membeli barangan mereka.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna apabila mereka tertipu membeli barangan yang ditawarkan potongan harga tetapi telah tamat tarikh luput.

‘‘YIM memandang keadaan ini sebagai satu penganiayaan kepada pengguna, sepatutnya pengusaha pasar raya lebih peka dan tidak mengambil ringan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Selain menjual barangan yang telah tamat tarikh luput, beliau berkata, kesalahan lain yang dikesan adalah menjual makanan dalam tin kemik, pembungkusan makanan tidak menepati spesifikasi dan pelbagai kesalahan lain.

“Kita juga mengesan ada beberapa penipuan dari segi pelabelan yang membabitkan kesalahan undang-undang,” ujarnya.

Lebih memeranjatkan, kata beliau, kebanyakan aduan yang diterima daripada pengguna mengaitkan barangan yang dibeli daripada beberapa pasar raya besar di negeri ini.

Katanya, perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang serius kerana tidak sepatutnya sebuah pasar raya yang besar menipu pengguna semata-mata ingin meraih keuntungan berlipat ganda.

‘‘Orang ramai percaya kualiti barangan yang dijual oleh pasar raya besar adalah berkualiti berdasarkan pembukaan cawangan pasar raya tersebut di seluruh negara,” katanya.

Namun bagi pengguna, katanya, mereka begitu kecewa kerana mendapati beberapa barangan yang telah tamat tarikh luput masih dijual.

Sehubungan itu, Saharuddin meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasar raya yang berbuat demikian.

Justeru, beliau mengingatkan para pengguna supaya tidak terpedaya dengan taktik peniaga menggunakan barangan luput tarikh terutamanya semasa kempen jualan murah pada musim perayaan.

Bagi pengguna yang menghadapi masalah boleh membuat aduan dengan menghubungi talian utama YIM 1700800444 atau datang ke pejabat di No. 20-1, Jalan TU 40, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini.

No comments:

Post a Comment