Tuesday, December 14, 2010

Cinta 3 Segi Pecah Kepala


'Saya tidak akan maafkan dia'

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

G. Vimalraj sambil ditemani kakaknya, G. Muniswari menceritakan kejadian bagaimana dia dipukul oleh tiga individu termasuk isterinya ketika ditemui di Kulim, Kedah, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din

KULIM 13 Dis. - Anggota polis berpangkat lans koperal yang dipukul oleh isteri dan kekasihnya sehingga koma, November lalu, akibat cinta tiga segi, sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan wanita itu.

"Apa pun terjadi saya tak akan maafkan dia (isteri)," kata Lans Koperal G. Vimal Raj ketika ditemui di rumahnya di Lunas dekat sini hari ini.

Menurut Vimal Raj, dia tidak menyangka isterinya, Kasturi yang dikahwininya Mac tahun lalu sanggup melakukan tindakan hampir meragut nyawanya hingga terlantar koma selama sebulan di Hospital Ipoh, Perak.

Dia yang bertugas di Balai Polis Rawang juga kini mengalami masalah hilang daya ingatan selain sukar bercakap akibat kecederaan dialami.

Mengimbas kembali detik-detik malang itu, katanya, dia dipukul oleh isterinya dan dua lelaki yang dipercayai kekasih isterinya dan seorang rakan.

Vimal Raj berkata, dia dibawa keluar oleh isterinya kononnya untuk mendapatkan rawatan sakit belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 9 November lalu.

"Kasturi beritahu saya yang penyakit saya agak teruk dan mahu membawa saya pulang ke rumah ibu bapa saya di Kulim untuk berehat.

"Tapi tanpa saya sedari, dia bawa saya ke satu lorong sebelum tiba-tiba dipukul oleh dua lelaki lain dikenali sebagai Danish dan Steven yang sedia menunggu di situ menggunakan kayu hoki," katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan kejadian seorang anggota polis dipukul isterinya angkara cinta tiga segi sehingga koma selama sebulan dengan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Dia sebelum itu dihantar ke Hospital Slim River dipercayai oleh isterinya sebelum wanita tersebut membuat laporan polis yang mendakwa suaminya hilang sejak sebulan lalu.

Tambah Vimal Raj, dia tidak mampu melawan apabila mereka bertubi-tubi memukulnya di kepala dan badan malah Kasturi sendiri tergamak menumbuk mukanya.

Akibat dipukul berulang kali dan mukanya ditekup bantal, dia akhirnya pengsan dan hanya sedar dari koma selepas sebulan berada di hospital.

Dia kemudian memberikan alamat rumah dan nama ibunya kepada polis di hospital itu.

Abang mangsa, G. Sashikumar, 27, berkata, mereka sekeluarga tidak akan memaafkan perbuatan Kasturi sehingga adiknya menderita seperti itu.

Jelasnya, anak ketiga daripada empat beradik itu amat rapat dengan ibunya, C. Jayaletchumy dan mereka amat sedih melihat keadaannya yang terpaksa bergantung harap kepada keluarga untuk menguruskan diri.

"Biarpun dia ingat kejadian itu tapi keadaannya belum pulih sepenuhnya dan percakapannya pun masih tak lancar akibat kecederaan di kepala.

"Sekarang, kakaknya, G. Muniswary yang banyak membantu untuk makan, ke tandas atau bergerak di rumah ini," katanya.

Mereka sekeluarga juga berharap pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mendakwa Kasturi dan dua yang lain serta berharap dikenakan hukuman setimpal.

"Ini bukan perkara main-main kerana mereka berani mengambil tindakan seperti itu kepada anggota polis sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment