Friday, December 24, 2010

Curi Air Ka

Sains bongkar kegiatan curi air dua pemilik rumah

SEREMBAN 23 Dis. - Sikap tidak pandang endah dengan amaran akhirnya memakan diri buat dua pemilik rumah apabila kegiatan mencuri air mereka dihidu oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) ketika menjalankan kerja pengubahsuaian semalam.

Hasil serbuan yang dilakukan berasingan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati, pemilik rumah berkenaan membuat sambungan haram dari paip utama Sains untuk dapatkan air secara percuma.

Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Emerald Park, Seremban 2 kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan disyaki telah membuat penyambungan tanpa kebenaran menggunakan sebatang paip bersaiz 20 milimeter (mm).

"Kita mengesyaki air yang dicuri itu digunakan oleh kontarktor untuk menjalankan kerja pengubahsuaian rumah dua tingkat terbabit.

"Sejam selepas serbuan pertama, kita menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Seruling Jaya, Jalan Labu, yang disyaki turut melakukan penyambungan haram menggunakan pili paip getah bersaiz 14 mm," katanya di sini hari ini.

Azlan berkata, premis kedua tersebut juga dipercayai menggunakan air yang diambil dari paip Sains untuk kerja pengubahsuaian kediaman berkenaan.

"Berikutan itu, kesemua paip berkenaan disita untuk dijadikan bahan kes dan kita juga mengambil keterangan kontraktor terbabit.

"Bagaimanapun, pemilik kedua-dua kediaman berkenaan didapati tiada di premis masing-masing dan kita memanggil mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment