Tuesday, December 21, 2010

Paya Pagar

"Bukan projek gajah putih”

PAYA PAGAR – Projek Taman Awam dan Rekreasi Bera yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta bukanlah projek omong-omongan atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Ahli Majlis, Wong Yoke Loong berkata, projek itu bukan sahaja dijadikan sebagai kawasan rekreasi dan riadah untuk warga tempatan malahan daya tarikan kepada orang luar untuk datang ke Bera.

Menurutnya, projek yang akan melalui tiga fasa itu tidak akan menjadi projek gajah putih seperti yang didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Leong Ngah Ngah.

“Projek ini masih berjalan dan tidak seharusnya istilah ‘Projek Gajah Putih’ itu digunakan kerana istilah itu hanya boleh digunakan kepada projek yang siap tetapi tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak projek taman itu bersama Ahli Majlis yang lain iaitu Mokhtar Mohd dan Ismail Safie, semalam.

Yoke Loong berkata, kawasan itu juga didakwa tidak sesuai kerana ia merupakan kawasan berpaya tetapi kerajaan tempatan tidak akan membazirkan wang untuk projek yang hanya mendatangkan kerugian kepada mereka.

Katanya, sudah tentu kerajaan tempatan memikirkan kesan atau impak menjalankan projek di kawasan itu termasuk langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang bakal timbul sekiranya ia dinaiki air.

Menurutnya, dalam perancangan projek, sebuah tasik buatan turut dibina untuk menampung jumlah air di kawasan berpaya itu.

“Dengan adanya tasik atau kolam ini, air di kawasan berpaya ini akan disalirkan ke dalamnya. Saya percaya, ia antara langkah awal kerajaan tempatan untuk mengatasi masalah banjir kilat,” katanya.

No comments:

Post a Comment