Thursday, December 23, 2010

Polis Lawan Polis

Konstabel bebas tuduhan cabul inspektor

PETALING JAYA 22 Dis. - Seorang anggota polis berpangkat konstabel dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan mencabul seorang inspektor wanita, tahun lalu.

Majistret Aishah Hijriah Arshad membuat keputusan tersebut tanpa memanggil Yusri Yusof, 35, membela diri setelah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut beliau, semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, saksi pertama selaku pengadu dalam keterangannya mendakwa, telah dipeluk oleh tertuduh.

Bagaimanapun menurut Aishah Hijriah, semasa disoal balas oleh pihak pembelaan, saksi itu memberitahu, Yusri cuba menciumnya.

Sepanjang perbicaraan, mangsa telah memberikan keterangan tidak konsisten dan tiada bukti sokongan melainkan laporan polis yang dibuatnya seminggu selepas kejadian.

''Selain itu, saksi kedua merupakan rakan sekerja pengadu yang turut berada berhampiran hanya terdengar jeritan tetapi tidak melihat apa yang berlaku,'' ujar beliau.

Sepanjang perbicaraan empat saksi pendakwa telah memberikan keterangan.

Yusri didakwa mencabul rakan setugasnya berusia 25 tahun di Pejabat Detektif Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Tingkat 7, Menara Choo Foo di sini pada pukul 5.35 petang, 26 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chong Kak Seng, manakala Yusri diwakili peguam bela Wan Shahrizal Wan Laden.

No comments:

Post a Comment