Tuesday, December 21, 2010

Hari Tua Yang Tiada Makna

Bekas TKP Imigresen dipenjara

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar dihukum penjara enam tahun dan denda RM620,000 setelah didapati bersalah atas 14 pertuduhan menerima rasuah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abu Bakar Katar yang memutuskan demikian hari ini, memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa mulai 16 Disember lalu iaitu tarikh Yusof disabitkan dengan pertuduhan itu.

Hakim tersebut menjatuhkan hukuman penjara antara dua tahun dan enam tahun serta denda antara RM10,000 dan RM92,000 bagi setiap pertuduhan.

Hukuman bagi kesemua pertuduhan tersebut diperintahkan berjalan serentak.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan peguam bela, Mohammed Azmi Mohd. Said yang mewakili Yusof untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar turut memerintahkan supaya notis rayuan difailkan pada esok pagi dan sekiranya gagal, mahkamah akan menarik balik perintah penggantungan pelaksanaan hukuman tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Sophian Zakaria membantah permohonan tersebut atas alasan pihak pembelaan gagal menunjukkan sebarang keadaan istimewa untuk menangguhkan hukuman itu.

Pada 16 Disember lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman setelah mensabitkan Yusof, 56, atas kesemua pertuduhan yang dihadapinya setelah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan bermula pada 22 Februari lalu, mahkamah telah mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan serta seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri.

Tertuduh didakwa pertama kali pada 14 Oktober 2008 atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan di antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu di sini.

Sebulan selepas itu, tertuduh didakwa pula atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang kerana menerima rasuah berjumlah RM36,500.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Hentian Sebelah Serdang arah Utara, Kilometer 306, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini antara pukul 3.30 dan 3.45 petang, 29 April 2008.

Pada hari sama, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,500 di beberapa lokasi antara 21 Mac hingga 7 Julai 2008.

Kesemua kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment