Friday, December 24, 2010

Kirim Wang Sampai 2 Juta

Dua pengarah didakwa kirim wang RM17j

PULAU PINANG 23 Dis. - Dua pengarah syarikat pengurup wang bersama syarikat mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 tuduhan termasuk di bawah Akta Pengurupan Wang 1998 membabitkan pengiriman dana keluar negara bagi pihak ketiga berjumlah 17 juta, dua tahun lalu.

Mereka ialah Kalander Mydin R.K. Abdul Jabbar, 46, dan Mohamad Imtiaz Rajah Mohamed, 33, yang merupakan pengarah syarikat R. Kalander Sdn. Bhd. atas tuduhan gagal menyimpan rekod transaksi mata wang tempatan yang melebihi RM20,000 seperti yang ditentukan pihak berkuasa.

Mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan tersebut ketika ia dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Setiap tertuduh termasuk syarikat R. Kalender menghadapi 10 pertuduhan setiap seorang.

Mengikut pertuduhan utama, kedua-dua tertuduh dan syarikat itu didakwa telah membuat pengiriman dana ke luar Malaysia bagi pihak ketiga membabitkan antara RM3 juta hingga RM4 juta yang keseluruhannya berjumlah RM17 juta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 (1)(a) Akta Pengurupan Wang 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa gagal menyimpan rekod transaksi mata wang tempatan yang melebihi RM20,000 seperti yang ditentukan pihak berkuasa.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 87(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 86(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000.

Semua kesalahan itu didakwa berlaku pada masa berbeza antara 23 Julai 2008 dan 27 Ogos tahun lalu di syarikat tersebut di No. 74, Lebuh Pantai di sini.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat dan pegawai pendakwa Muhd. Shukri Ahmad Mansor dan Muhamad Riduan Baba mewakili Bank Negara.

Terdahulu Muhd. Shukri mencadangkan supaya kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM250,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Roslan membenarkan jaminan tersebut dan memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan mereka kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Beliau menetapkan 25 Januari depan bagi sebutan semula kes.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment