Wednesday, January 12, 2011

Beri Penjelasan


“Bukan syarikat katering saya”


AYER KEROH - “Saya tidak menyalahkan pihak akhbar tetapi saya hanya ingin membetulkan keadaan. Syarikat yang terlibat dengan penyediaan makanan basi itu bukan syarikat saya.”

Itu luahan Abd Razak Yusop, 52, yang juga pengusaha syarikat katering yang kini menghadapi dilema apabila ramai pelanggannya menyangka syarikatnya bertanggungjawab ke atas penyediaan lauk basi pada satu majlis kenduri kahwin, 4 Disember lalu.

Abd Razak semalam yang berkunjung ke pejabat Sinar Harian berkata, dia dihujani panggilan telefon pelanggan yang telah menempah awal :perkhidmatan syarikatnya, Abry Berkat Enterprise yang menyangka syarikat kateringnya yang diarahkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar ganti rugi ke atas pelanggan, yang mendakwa makanan kenduri basi dan tidak menepati perjanjian, seperti disiarkan beberapa akhbar tempatan Jumaat lalu.

“Saya terpaksa menjelaskan kepada mereka bahawa syarikat yang mempunyai nama sama dengan nama saya bukan syarikat saya.

“Mungkin kerana nama sama dan orang pun sudah mengenali saya dengan panggilan ‘Razak Katering’, bukan mengenali saya dengan nama syarikat saya, maka mereka menyangka ia adalah hasil kerja saya,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan yang hampir membatalkan tempahan tetapi dengan pertemuan dan penjelasannya, mereka faham serta meneruskan tempahan.

“Tetapi hati saya tetap bimbang kerana mana-mana saya pergi, kebanyakan orang akan bertanyakan saya mengenai salah faham ini.

“Saya kini tidak senang duduk kerana mengenangkan perjuangan selama 10 tahun membina nama dalam perusahaan katering dan ia bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

Abd Razak berkata, tiga tahun awal, dia menghadapi banyak kerugian hanya kerana mahu memperkenalkan diri dan meraih kepercayaan orang ramai dengan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk setiap tempahan majlis.

“Saya amat mementingkan kualiti makanan dan perkhidmatan, malah sehingga sekarang saya tidak berani langsung mengambil lebih daripada satu tempahan dalam sehari terutama majlis melibatkan ramai tetamu.

“Biarlah untung sedikit asalkan perkhidmatan adalah yang terbaik dan saya juga tidak pernah mengambil tempahan di luar negeri Melaka kerana bimbang tidak terkejar,” katanya.

Menurutnya, kini perniagaan yang diusahakan semakin kukuh kerana kebanyakan pelanggan adalah tetap dan mereka percaya dengan khidmat katering disediakan.

“Namun dengan insiden ini, sedikit mengganggu tumpuan perniagaan dan saya harap selepas ini tiada lagi keraguan pelanggan mahupun orang ramai terhadap perkhidmatan katering saya,” katanya.

7 Januari lalu, akhbar ini dan beberapa akhbar tempatan lain menyiarkan sebuah syarikat katering, Razak Katering & Event Servis diarahkan membayar ganti rugi RM9,505 kepada seorang pelanggan, Kamarudin Husin, 51, yang mendakwa syarikat berkenaan mengingkari perjanjian penyediaan makanan.

Syarikat itu menyediakan lauk basi pada majlis kenduri kahwin di Tanjung Keling, 4 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment