Thursday, January 13, 2011

Gaji

Elaun tidak padan dengan beban guru KAFA

Bermula tahun ini, elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah dinaikkan kepada RM800 daripada RM500 sebelum ini. Namun apa yang amat dikesali oleh semua guru KAFA adalah sebelum tahun 2011, kelas KAFA hanya diadakan selama dua jam sehari dan tiga hari seminggu. Jumlah seminggu adalah enam jam.

Tetapi pada tahun ini, kelas KAFA telah dilanjutkan selama tiga jam sehari dan kelas diadakan selama lima hari seminggu. Dengan itu, tempoh waktu mengajar untuk seminggu adalah 15 jam. Elaun dinaikkan sebanyak RM300 sahaja, sedangkan masa mengajar meningkat lebih sekali ganda. Persoalannya, adakah elaun guru KAFA yang dinaikkan kepada RM800 itu memadai. Apa yang nyata elaun itu menunjukkan bahawa semua guru KAFA masih berada di bawah paras kemiskinan. Ini jelas jika dibandingkan dengan harga barangan yang telah meningkat berkali ganda sejak awal tahun 2011.

Saya yang mewakili suara guru KAFA menggesa pihak kerajaan agar lebih prihatin dan dapat menambah lagi elaun guru KAFA agar berbaloi dengan peningkatan tempoh mengajar daripada enam jam kepada 15 jam seminggu.

Semoga harapan kami untuk mendidik anak bangsa tidak akan luntur selama-lamanya.

GURU KAFA TUA

No comments:

Post a Comment