Wednesday, January 5, 2011

Pencuri Getah

Banteras kegiatan curi getah

TEMERLOH 4 Jan. - Anggota Ikatan Relawan Malaysia (Rela) bersama 5,000 penduduk dari 10 buah kampung mukim Kerdau dekat sini terpaksa melakukan rondaan setiap malam di kawasan ladang getah bagi mengelak kejadian mencuri getah beku sejak kebelakangan ini.

Harga getah naik di pasaran dan mencecah lebih RM7.00 sekilogram mendorong individu tidak bertanggungjawab terutamanya penagih dadah mengambil kesempatan mencuri getah berkenaan.

Ketua Kampung Kelibang, Kerdau, Abdul Hamid Jainal, 62, berkata, sepanjang Disember lalu sebanyak 12 kejadian curi getah berlaku di kampung tersebut dan ia tidak termasuk di kampung-kampung lain.

''Bagi mengelakkan kegiatan itu berleluasa, Rela dengan kerjasama penduduk serta pemilik kebun menjalankan rondaan pada waktu malam.

''Langkah yang diambil oleh Rela, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk yang melakukan rondaan dan berkawal itu berjaya membendung kejadian tersebut," katanya.

Menurut beliau, mereka akan terus melakukan rondaan secara bersepadu itu bagi memastikan kejadian mencuri getah tidak berulang lagi.

Tambahnya, 85 peratus daripada 5,000 penduduk dari 10 buah kampung itu bekerja sebagai penoreh getah manakala selebihnya berniaga sendiri atau berkerja kilang dan sebagainya.

TAJUK-TAJUK

No comments:

Post a Comment