Wednesday, January 12, 2011

Siapalah Kita

Penolong pegawai daerah dijel 6 bulan


SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai daerah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah bersetuju menerima rasuah dalam bentuk pembayaran pangsapurinya, dua tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan terhadap Norhanizatuazwin Samsuni, 30, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda. Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Mengikut pertuduhan, Norhanizatuazwin yang bertugas di Pejabat Daerah/Tanah, Hulu Langat didakwa bersetuju menerima cek bernilai RM10,000 dari Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Winmont Development Sdn Bhd, Datuk Lau Kim So. Ia sebagai sebahagian daripada bayaran rumahnya di C-4-25, Rumah Pangsa, Kajang Impian, dekat sini.


Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Trans Loyal Development Sdn Bhd di nombor 45A, Jalan Bukit Mewah, Kajang, jam 12.30 tengah hari, 14 Mac 2009.

No comments:

Post a Comment