Thursday, January 6, 2011

Siul Kena tangkap


Dicekup ketika bersiul atas motosikal

GONG PASIR – Seorang penagih yang bersiul kegembiraan atas motosikalnya kerana terlalu seronok selepas melepaskan gian dadah membawa padah, apabila dia dicekup polis ketika mundar-mandir di sekitar kampungnya.

Suspek yang sedang bergembira tidak menyangka kehadiran beberapa anggota polis berpakaian preman yang disangka remaja tempatan itu bertujuan menahannya.

Suspek bertindak melawan dan berlaku pergelutan sebelum belia berusia 20-an itu berjaya ditahan.

Selain suspek, serbuan berasingan di sebuah rumah yang dipercayai menjadi port kumpulan penagih tegar di kawasan berdekatan itu membawa kepada penahanan enam lagi yang lain berusia antara 20 hingga 30-an.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kesemua suspek yang ditahan dalam operasi terbabit disahkan positif dadah.

“Operasi bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, tertumpu di sekitar Kampung Gong Pasir itu membawa kepada penangkapan tujuh suspek membabitkan penagih dadah.

“Kesemua mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan menjalani perbicaraan atas pertuduhan yang dikenakan sebaik laporan kimia diperoleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment