Tuesday, February 1, 2011

Bapa Nurin Kalah

Kes saman fitnah bapa Nurin Jazlin, ditolak dengan kos

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Kes saman fitnah bapa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin terhadap bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan dua yang lain atas dakwaan mengaitkannya dengan ah long, ditolak dengan kos oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad dalam keputusannya berkata, Jazimin Abdul Jalil selaku plaintif sebenarnya telah tersilap menamakan defendan sebagai pihak dalam saman tersebut.

Ini kerana jelas beliau, plaintif sepatutnya menyaman Kosmo! dan wartawan yang menulis artikel berkenaan disebabkan dalam keterangan, saksi itu mengakui bahawa perkataan yang tersiar di dalam akhbar Kosmo! bertarikh 21 September 2007 bukannya perkataan sebenar yang digunakan oleh Khalid.

Tambahan pula hakim itu berkata, wartawan terbabit mengesahkan, dia tidak mencatat secara lengkap (verbatim) kenyataan Khalid dalam sidang akhbar hari sebelumnya.

Sebaliknya mengakui, dia hanya mengambil butiran penting dan menulis artikel tersebut berdasarkan pemahamannya sendiri daripada sidang akhbar itu, ujar Hakim Asmabi.

Menyentuh keterangan dua saksi defendan dari akhbar The New Straits Times (NST) dan Oriental Daily, menurut Hakim Asmabi, mereka menyatakan tidak mendengar perkataan yang disiarkan oleh Kosmo!.

Saksi itu juga menurut hakim, tidak ingat sama ada Khalid pernah menyebut mengenai ah long tetapi mereka tahu, seorang wartawan ada bertanyakan soalan tersebut kepada beliau.

''Sebagai Ketua Polis Selangor ketika itu, Khalid mempunyai tanggungjawab dari segi moral dan sosial untuk memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan siasatan kes pembunuhan berprofil tinggi itu,'' kata Hakim Asmabi.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin memohon mahkamah menetapkan kos guaman bagi permohonan tersebut sebanyak RM50,000 tetapi peguam Natasha Bashir memohon ia ditaksir kemudian.

Mahkamah membenarkan permohonan Natasha kerana beliau tidak mempunyai mandat untuk berhujah mengenai kos tersebut disebabkan peguam utama, Akbardin Abdul Kader tidak hadir hari ini.

Nurin hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sebelum mayatnya dijumpai pada 17 September 2007 iaitu selepas 27 hari kehilangannya.

Sehingga kini penjenayah terbabit masih belum dapat dikesan.

Dalam saman yang difailkan pada 21 Ogos 2008 plaintif yang menuntut ganti rugi RM2 juta berkata, kenyataan defendan yang muncul dalam artikel akhbar harian di bawah tajuk Siasat Ah Long Larikan Nurin telah mengakibatkan nama baik dan reputasinya terjejas.

Selain Khalid, plaintif turut menamakan Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan bahawa Khalid telah menyebarkan kenyataan berunsur fitnah apabila mengaitkannya dengan ah long dalam satu artikel keluaran akhbar Kosmo! bertarikh 21 September 2007.

Dakwa plaintif, pernyataan berunsur fitnah itu telah menyebabkannya mengalami tekanan minda, trauma dan malu berhadapan dengan masyarakat lebih-lebih lagi mereka masih lagi sedih akibat tragedi yang menimpa Nurin.

Jazimin yang ditemui selepas keputusan tersebut berkata, dia perlu berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu sebelum mengemukakan rayuan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment