Tuesday, February 1, 2011

Stadium Runtuh Jurutera Pun Kena

Bumbung stadium runtuh: Jurutera didakwa

KUALA TERENGGANU 31 Jan. - Seorang jurutera perunding menjadi tertuduh pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, dua tahun lalu.

Tertuduh Wan Manan Wan Ali, 51, dari Kuala Ibai di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu berkaitan tugasannya dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan.

Hakim M. Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainudin Wan Musa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang telah menipu dengan berpura-pura sebagai 'checker' (pemeriksa) yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009.

Ia mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja-kerja yang berkaitan dengannya (the main roof truss system and its associated works) untuk cadangan membina dan menyiapkan stadium utama di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, dekat sini yang bertarikh 15 Januari 2009.

Dia didakwa menyerahkan dokumen itu kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu ketika itu, Rosli Zainal, yang mana tertuduh telah memberi pandangan dan menandatangani dokumen tersebut sebagai pemeriksa dan telah memperdaya Rosli dan Mohtar Nong (Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ketika itu).

Tindakan tertuduh itu untuk mempercayai bahawa pandangan yang diberi dalam dokumen bertarikh 15 Januari 2009 sebagai pemeriksa yang diiktiraf sedangkan dia mengetahui yang dia tidak diiktiraf sebagai pemeriksa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari 2009 dan 29 Mac 2009 di Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu di Tingkat 12, Wisma Negeri di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu.

Wan Manan didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menipu dengan cara menyamar.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pada 2 Jun 2009, bumbung stadium berkenaan yang terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh, menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment