Friday, April 8, 2011

Bawa Duit Pun Kena Tahan


Lelaki bawa RM175,000 ditahan

Zakaria Yusof menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada seorang lelaki yang tidak mengisytiharkan wangnya di Pejabat Kastam Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 7 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri menahan seorang lelaki tempatan dan merampas wang tunai berjumlah RM175,000 miliknya yang tidak diisytiharkan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), semalam.

Timbalan Pengarahnya, Zakaria Yusof berkata, lelaki tersebut yang berusia 51 tahun ditahan dalam Operasi Sempadan sebaik sahaja memasuki negara ini dari negara jiran melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang di sini, pukul 3.20 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan dibuat dalam kereta tersebut menemui dua bungkusan plastik hitam di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang bahagian depan yang berisi wang tunai itu daripada wang kertas RM50 dan RM10.

"Di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, seseorang meninggalkan atau memasuki negara ini yang membawa wang tunai melebihi USD 10,000 (RM30,270) perlu mengisytiharkan wang itu terlebih dahulu.

"Selain itu, kebenaran bertulis daripada BNM juga diperlukan seperti yang termaktub di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas beliau, siasatan mendapati lelaki itu tidak menepati kedua-dua kriteria berkenaan iaitu gagal mengisytiharkan dan mendapatkan kebenaran bertulis daripada BNM.

Sehubungan itu, katanya, suspek kini disiasat atas dua kesalahan iaitu di bawah Seksyen 23(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Zakaria berkata, bagi kesalahan pertama, suspek boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi kesalahan kedua, lelaki itu berdepan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai wang dirampas dan tidak lebih daripada 20 kali ganda wang yang dirampas atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Saya berharap agar orang ramai tahu bahawa kita tidak boleh membawa wang pada jumlah yang banyak dengan sewenang-wenangnya meskipun ia adalah wang kita sendiri," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment