Wednesday, April 6, 2011

Hilang Ditemui


Kanak-kanak hilang akhirnya ditemui semula

MOHD. Nawawi Deris bersama Nur Hafiqah Zarissya di IPD Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 5 April - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan yang hilang semalam, ditemui semula dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas sepasang suami isteri memulangkan kanak-kanak itu hari ini.

Nur Hafiqah Zarissya Mohd. Nawawi dipulangkan kepada Mohd. Nawawi Deris, 42, dan Azizah Dollah, 42, dalam keadaan selamat di kedai telefon bimbit milik mereka di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang di sini kira-kira pukul 3.30 petang.

Mohd. Nawawi ketika ditemui berkata, mereka bersyukur kerana anak bongsunya itu ditemui semula dalam keadaan selamat.

Menurutnya, pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an memulangkan Nur Hafiqah Zarissya selepas mengambil kanak-kanak itu dan membawa ke rumah mereka di Temerloh selepas dikatakan berkeliaran di hadapan kedai telefon bimbit itu.

"Saya bersyukur Hafiqah kembali ke pangkuan kami dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Kuantan di sini, hari ini.

Sementara itu, menantunya, Noor Syatila Samsudin, 23, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pasangan terbabit kira-kira pukul 1.45 petang.

"Pasangan itu memberitahu bahawa Hafiqah berada dalam keadaan selamat bersama mereka dan meminta maaf kerana membawa kanak-kanak itu pulang ke Temerloh.

"Pasangan terbabit kemudian datang ke kedai pada pukul 3.30 petang untuk memulangkannya," katanya.

Kata Noor Syatila, pasangan terbabit memaklumkan bahawa mereka bercadang untuk memulangkan Nur Hafiqah Zarissya semalam namun berasa takut kerana suasana telah menjadi kecoh berikutan kehilangan kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut.

"Kita minta pasangan terbabit menghubungi polis bagi membantu siasatan. Sekiranya mereka tidak bersalah kenapa perlu takut untuk tampil," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa memastikan keselamatan anak dan meminta kes tersebut dijadikan teladan kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment