Monday, October 4, 2010

Waspada Dengan Ustaz/Bomoh Palsu

'Ustaz' perubatan palsu

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap sesetengah pengamal perubatan palsu yang berselindung di sebalik nama perubatan Islam tetapi mengamalkan rawatan berunsur kebomohan.

Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia (Darussalam), Abdul Manaf Jusoh berkata, pengamal perubatan palsu itu akan menggunakan nama beberapa pertubuhan perubatan Islam seperti Darussalam dan Darussyifa' untuk meyakinkan orang ramai.

"Namun, mereka telah mencampuradukkan ajaran Islam dengan unsur-unsur jin dan khurafat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Ustaz-ustaz palsu ini akan berlagak seperti ahli nujum dan memberi pesakit pelbagai pantang-larang yang mengarut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka persatuan tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Penaung Darussalam, Datuk Ismail Kamus.

Jelas Abdul Manaf, pihaknya sebelum ini mendapat banyak aduan mengenai kegiatan 'ustaz-ustaz' palsu itu yang dikatakan menggunakan nama persatuannya untuk menarik pelanggan di Perak dan Melaka walaupun persatuannya tidak pernah membuka cawangan lain selain di Gombak dekat sini.

Tambahnya, mereka yang terpedaya akan dirawat menggunakan pelbagai kaedah yang bertentangan dengan etika perubatan Islam dan ada juga yang dikenakan bayaran yang tidak munasabah oleh ustaz-ustaz palsu itu.

"Justeru, saya menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai mana-mana individu yang mendakwa diri mereka pengamal perubatan Islam tetapi kaedah rawatannya mencurigakan," katanya.

No comments:

Post a Comment