Tuesday, January 11, 2011

Mesen Telan Duit


Peniaga 'mangsa' mesin deposit

ALOR SETAR- Seorang peniaga terkejut apabila wang yang dimasukkan ke dalam akaun isterinya menerusi mesin deposit tunai tidak mencukupi dan mendakwa berlaku keciciran terhadap jumlah wang yang dimasukkan.

Peniaga, Lim Eng Kee, 38, berkata, dia pada awalnya mahu memasukkan wang berjumlah RM2,000 ke dalam akaun isterinya namun hanya RM900 yang diterima.

Menurutnya, dia kemudian memasukkan baki wang tersebut berjumlah RM1,100 namun mesin itu kemudiannya mengalami kerosakan dan wang itu tidak dikembalikan.

“Sewaktu saya memasukkan wang ke dalam mesin deposit tunai pada kali kedua, saya tidak menerima resit dan daripada situ telah menimbulkan kebimbangan kerana khuatir tidak mempunyai rujukan.

“Kemudian, selepas lima hari sewaktu memeriksa akaun isteri, saya mendapati hanya RM1,300 daripada RM2,000 sahaja yang dimasukkan ke dalam akaun,” katanya kepada media ketika ditemui.

Eng Kee berkata, terkejut dengan perkara yang berlaku, dia segera berjumpa dengan pegawai bertugas di bank tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka memaklumkan bahawa dia akan menerima wang itu dalam tempoh tiga hari.

Dia berkata, namun tempoh masa yang diberikan itu telah pun melebihi sebulan dan sehingga kini dia masih belum menerima sebarang jawapan ataupun maklumat daripada pihak bank tersebut.

Menurutnya, apabila disemak di bank tersebut, dia mendapati masih ramai individu yang mengalami kejadian yang sama.

“Setelah pihak bank tidak memberi sebarang jawapan, saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar pada 27 Disember tahun lalu iaitu selepas 21 hari kejadian berlaku.

“Saya sememangnya berharap kejadian ini disiasat oleh pihak polis kerana ia adalah untuk keselamatan pengguna mesin deposit tunai,” katanya.

Bagi, Setiausaha Pemuda MCA negeri Kedah, Loh Eng Chong berkata, MCA sebelum ini pernah menerima aduan yang sama namun tidak ramai yang membuat laporan polis.

Beliau berkata, perkara ini seharusnya diberi perhatian yang serius kerana khuatir akan memberi kesan kepada mangsa terutama mereka yang memasukkan wang dalam jumlah banyak.

Eng Chong berkata, pihak bank perlulah mengambil inisiatif meletakkan pegawai bertugas di bahagian mesin deposit tunai untuk membantu orang ramai sekiranya mesin yang disediakan mengalami masalah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, pihaknya telah menerima laporan dan mengesahkannya.

Baharom berkata, kejadian yang berlaku itu telah disiasat dan ia hanya menyebabkan kerosakan teknikal.

Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada pihak bank tersebut untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment