Friday, January 7, 2011

Tuduh

Taktik tuduh penyiasat SPRM ‘jahat’

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
TREND menuduh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan taktik kekerasan semasa proses soal siasat di kalangan saksi dan tertuduh dilihat semakin berleluasa.

Tohmahan yang cuba dibangkitkan oleh segelintir saksi dan tertuduh terbabit seolah-olah sengaja mahu menarik simpati masyarakat agar kes rasuah mereka dilupakan dan perhatian dialihkan kepada anggota SPRM yang ‘jahat’.

Perbuatan tidak bermoral itu sudah tentunya mahu masyarakat lupa terhadap kesalahan dan penglibatan mereka dalam kesalahan rasuah, ironinya dakwaan itu hanya muncul selepas mereka dituduh di mahkamah.

Taktik ini sebenarnya bertujuan mendapatkan simpati hakim kerana mereka percaya dengan berbuat demikian boleh membantu membebaskan diri daripada pertuduhan.

Hakikatnya, perbuatan tersebut sebenarnya didorong oleh tekanan dan ketakutan kerana si saksi bimbang dituduh sebagai pembelot oleh pihak yang cuba dilindungi.

Mereka juga sengaja mengada-adakan cerita yang tidak benar dengan harapan dapat membantu tertuduh terlepas daripada pertuduhan rasuah yang dihadapi.

Perkara ini diakui sendiri oleh seorang pegawai penyiasat kanan SPRM, Shukri Seman yang sering mengendalikan proses soal siasat membabitkan saksi atau pesalah dalam kes rasuah di seluruh negara sejak lebih 20 tahun lalu.

‘‘Sebenarnya, proses soal siasat saksi atau lebih dikenali sebagai proses temu duga saksi tidak dilakukan dengan menggunakan kekerasan sama sekali. Sebaliknya, pegawai penyiasat akan menggunakan kaedah dan pendekatan yang sesuai bagi setiap saksi.

‘‘Konsep temu duga saksi yang diguna pakai oleh setiap agensi penguat kuasa di negara ini adalah mengikut kaedah yang diguna pakai di British dan negara-negara bekas jajahannya termasuk Malaysia.

‘‘Kaedah ini kemudiannya disesuaikan dengan keadaan masyarakat dan situasi jenayah di negara ini di mana bagi proses temu duga saksi ia lebih kepada usaha mewujudkan kesedaran kepada saksi secara emosi tanpa sebarang sentuhan fizikal,” katanya.

Prinsip kekuatan untuk digempur dan kelemahan untuk diekploitasi digunakan dalam proses temu duga saksi atau soal siasat ke atas yang didakwa, tegas beliau.

Pendekatan itu berbeza mengikut individu, situasi di mana pengendali atau pegawai penyiasat terlebih dahulu perlu membuat rujukan mengenai latar belakang dan perkara-perkara yang perlu mengenai saksi.

Justeru apabila berhadapan dengan saksi satu penilaian awal akan dibuat untuk melihat kaedah bersesuaian yang boleh digunakan bagi memujuk saksi bekerjasama dan memberi maklumat.

Masalah hanya akan timbul apabila ada saksi yang enggan bekerjasama dan cuba menyembunyikan fakta bagi melindungi individu yang melakukan penyelewengan.

‘‘Bagi saksi yang berkemungkinan terlibat atau mempunyai kepentingan dalam sesuatu kes rasuah kebiasaannya akan cuba menafikan pembabitannya selain memperkecilkan peranannya dan cuba meletakkan kesalahan tersebut pada orang lain.

‘‘Proses menimbulkan kesedaran yang diguna pakai dalam proses soal siasat pada masa kini tidak lagi menggunakan kekerasan sebaliknya menggunakan pendekatan psikologi bagi bermain dengan emosi pesalah atau saksi.

‘‘Faktor tekanan emosi akan dirasai saksi apabila wujud rasa bersalah dalam diri mereka kerana terbabit secara langsung atau sebaliknya dalam penyelewengan atau kesalahan rasuah,” jelasnya.

Seman berkata, situasi itu sering dialami oleh mereka yang mempunyai status dan berpendidikan tinggi yang cenderung untuk mengalami tekanan emosi apabila diletakkan sama taraf dengan pegawai ketika proses temu duga.

Malah ada antara saksi yang beranggapan bahawa wujud perolehan maklumat secara paksaan bila dipanggil untuk menjalani temu duga oleh pihak berkuasa.

‘‘Bertitik tolak dari situlah wujudnya persepsi ‘aku bakal didera’ oleh pegawai penyiasat di mana ia sebenarnya tidak berlaku,” katanya.

Kaedah soal siasat atau dikenali sebagai proses temu duga yang dijalankan untuk saksi bagi kes membabitkan jenayah kolar putih yang diguna pakai di negara ini sudah berubah kerana pada ketika ini lebih kepada pendekatan psikologi.

Presiden Association Of Certified Fraud Examiners (CFE), Datuk Akhbar Satar, berkata, pada ketika ini agensi penguatkuasaan di Malaysia lebih terarah untuk menggunakan pendekatan psikologi dan fisiologi bagi proses temu duga saksi.

Katanya, kaedah ini banyak diguna pakai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom yang terarah kepada seni soal jawab secara terancang bagi mendapatkan maklumat yang maksimum.

‘‘Pendekatan soal siasat saksi menggunakan fizikal memang pernah digunakan suatu ketika dahulu, tetapi perlu diingat ia bukan secara total tetapi hanya dalam kes-kes tertentu terutamanya bagi pesalah hardcore atau penjenayah tegar.

‘‘Di sini kita melihat kaedah psikologi lebih berjaya seperti yang turut digunakan ke atas bekas-bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) suatu ketika dahulu. Kaedah ini digunakan bagi memujuk mereka meletakkan senjata.

‘‘Dalam kes jenayah kolar putih dan rasuah pula, pendekatan temu duga menggunakan kaedah psikologi lebih berkesan memandangkan ia biasanya membabitkan golongan yang berpendidikan,” katanya.

Akhbar berkata, dalam situasi masyarakat negara ini yang mempunyai tahap pendidikan baik, kaedah temu duga saksi perlu dipertingkatkan terutama bagi kes-kes jenayah membabitkan golongan yang berpendidikan tinggi dan berstatus.

Katanya, mereka yang terbabit dalam jenayah kolar putih adalah subjek yang cerdik dan biasanya mempunyai personaliti yang bagus dan pintar.

‘‘Oleh itu pendekatan yang sesuai ialah menggunakan kaedah temu duga yang mengganggu sensitiviti dan emosi mereka, contohnya, mengaitkan kesan yang bakal diterima oleh keluarga atau orang yang mereka sayangi.

‘‘Bagi saksi yang terlibat dengan kes profil tinggi pula, satu unit khas terdiri dari pegawai penyiasat berpengalaman dan mempunyai kepakaran perlu diadakan bagi proses soal siasat atau temu duga saksi ini,” katanya.

Menurut Akhbar, saksi yang menipu semasa sesi soal siasat juga boleh dikesan melalui kaedah fisiologi dan gaya badan ketika proses temu duga.

Katanya orang yang menipu atau memberi maklumat yang tidak betul ini dapat juga dikesan melalui pergerakan matanya ketika disoal dan biasanya bibir mereka akan menjadi kering.

‘‘Ini boleh disokong dengan penggunaan poligraph, kebiasaannya 98 peratus hasil poligraph adalah tepat dan dua peratus disebabkan kelemahan penemu duga.

‘‘Walaupun hasil poligraph belum tentu diterima sebagai bahan bukti tapi ia amat berguna bagi proses temu duga ini supaya dapat memberi panduan kepada pegawai penyiasat dalam menjalankan siasatan yang sempurna,” katanya.

TAJUK-TAJUK BE

No comments:

Post a Comment