Friday, April 1, 2011

Jengka


Roboh penempatan haram di Matau

PAPAN tanda arahan mengosongkan kawasan tanah Matau oleh Majlis Daerah Maran dipandang sepi penduduk.

Saudara Pengarang,
BANDAR Jengka yang kini dikenali sebagai Bandar Tun Abdul Razak semakin berkembang pesat.

Bandar itu juga dikenali sebagai ‘Malay Town‘ kerana satu-satunya bandar yang sektor ekonominya didominasi oleh orang Melayu sepenuhnya.

Bagaimanapun, kemajuan dan keharuman nama ‘Malay Town’ itu agak terjejas dengan kewujudan perkampungan ‘haram’ yang dikenali sebagai Matau yang lokasinya terletak berhampiran Bandar Jengka.

Sebahagian pengunjung luar khususnya keluarga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang di Bandar Jengka mengganggap Matau sebagai Bandar Jengka.

Ini kerana, mereka akan melalui perkampungan Matau terlebih dahulu sebelum sampai ke Bandar Jengka.

Kedudukan rumah kedai dan kediaman yang tidak teratur sangat menyakitkan mata memandang di samping sering berlaku banjir kilat dan kegiatan negatif.

Keadaan itu amat memalukan kerajaan negeri dan Majlis Daerah Maran (MDM) yang bertanggungjawab memastikan pembangunan dalam daerah itu.

Kini, sudah sampai masanya kerajaan negeri dan MDM bertindak tegas dengan merobohkan premis kedai dan rumah yang dibina secara haram itu.

MDM dilihat telah memacakkan papan notis supaya penduduk di Matau mengosongkan kawasan itu untuk projek pembangunan, tetapi ia dilihat seperti mencurah air di daun keladi.

Difahamkan, kerajaan negeri telah menyediakan pelan pembangunan di kawasan Matau sejak 20 tahun lalu, tetapi usaha itu terbantut kerana penghuninya enggan berpindah walaupun diberi notis.

Malah, kerajaan negeri dikatakan menyediakan kawasan di perumahan Jengka Impian untuk kediaman baru mereka.

Walaupun kerajaan negeri dilihat amat prihatin dengan masalah yang mereka hadapi tetapi segelintir generasi baru yang kebanyakan bukan penduduk asal masih berdegil untuk tidak berpindah sehingga menjejaskan projek pembangunan di kawasan terbabit.

Oleh itu, kerajaan negeri perlu bertegas membangunkan semula kawasan itu dengan pembangunan yang lebih tersusun untuk faedah rakyat disamping mengindahkan lagi Bandar Jengka.

Penduduk terbabit juga tidak sepatutnya ingkar dengan arahan MDM kerana mereka diberi banyak masa dan alternatif untuk berpindah.

Ini kerana ramai lagi rakyat yang perlu dilayani.

KASTURI, Jengka

No comments:

Post a Comment