Sunday, April 3, 2011

Mencari Logikal MML

Mencari logik dalam MML

LOGIKKAH kalau dikatakan, jin dan hantu boleh ditangkap dan disumbat ke dalam botol? Nampak tidak logik, bukan? Lagipun kita bukan boleh nampak jin dengan mata kasar, dan takkanlah semudah itu jin hendak menyerah diri untuk dipenjarakan dalam botol kaca. Bukankah jin itu makhluk jahat, bukannya ulat atau semut yang boleh ditangkap begitu saja? Hmmm...

Bagaimana pula kalau mengeluarkan batu-batu berharga dari dalam bumi? Maksudnya, hanya dengan membaca mantera dan kemudian menepuk-nepuk tanah, tiba-tiba batu-batu cantik pelbagai warna timbul ke permukaan tanah. Batu-batu itu pula bulat licin seperti sudah ditempa untuk dibuat batu cincin. Logikkah? Atau menggunakan muslihat dan sudah dirancang terlebih dahulu?

Satu lagi senario berbeza, awan yang sedang hitam mendung , tiba-tiba bergerak melarikan diri selepas seorang lelaki membacakan sesuatu, kemudian memohon supaya awan itu pergi ke tempat lain. Tenaga apa yang digunakannya, dan bagaimana awan itu boleh memahami arahan lelaki berkenaan? Betul, atau kebetulan? .

Mungkin kita akan mengatakan, apa yang berlaku itu semuanya bohong, sihir, ada pengaruh kuasa supernatural jahat dan angkara syaitan yang mahu menyesatkan manusia.

Persoalan-persoalan ini sukar dijawab. Kita boleh menafikannya, tetapi bagi mereka yang melalui serta menyaksikannya sendiri, mereka ada jawapan tersendiri. Mereka yakin sebab mereka ada bukti-buktinya. Akhirnya persoalan itu tergantung antara benar dengan bohong, logik dengan tidak.

Persoalan-persoalan itulah yang cuba dibangkitkan oleh sebuah program televisyen berjudul Mastika Mencari Logika yang akan disiarkan oleh Astro Prima, pada setiap Jumaat, pukul 7.30 malam, mulai 8 April ini.

Ah, kisah hantu lagi? Tidak. MML yang diinspirasikan dari majalah nombor satu negara, Mastika dan diterbitkan oleh Utusan Studios, bukan satu lagi program hantu. Ia sebaliknya cuba mencari di manakah logiknya segala kejadian paranormal itu. Mastika diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB).

Mengupas fenomena

“Fenomena aneh, misteri dan paranormal ini sering diperkatakan oleh masyarakat. Mereka mahukan jawapan kerana apa yang berlaku itu banyak kesangsiannya.

“Persoalan-persoalan itulah yang cuba diketengahkan oleh MML dan jawapannya pula dikupas melalui penjelasan daripada ahli-ahli agama dan sains komputer, geografi, geologi, fizik, antropologi dan sebagainya. Objektif MML adalah supaya kita jangan terbelenggu lagi dengan satu aliran pemikiran sahaja iaitu semuanya berlaku angkara syaitan dan jin,” demikian kata Pengarang Kanan, Unit Majalah Umum UKSB, Zulkarnain Zakaria, yang turut bertanggung jawab ke atas majalah Mastika.

Bukankah itu jawapan klise yang sering kita dengar dari pengeluar- pengeluar filem dan program televisyen genre sedemikian?

“Tidak. MML berbeza. MML bukan hendak menakutkan masyarakat dengan hal-hal paranormal. Yakin atau tidak, kita kena terima hal-hal paranormal ini dikatakan wujud dan berlaku. Tetapi adakah semuanya itu angkara syaitan, jin dan dipengaruhi unsur-unsur paranormal? Logikkah?

“Cuba kita buka fikiran kita untuk melihatnya dari perspektif berbeza, dari sudut sebab-akibat dengan unsur alam, gelombang, geologi dan sebagainya. Di situ kita boleh menemui sebahagian daripada jawapan tadi,” jelas Zulkarnain.

Selain berdasarkan cerita-cerita menarik dari Mastika, MML juga mevisualkan kisah-kisah paranormal daripada Infiniti, sebuah lagi majalah terbitan UKSB . Istimewanya juga, separuh daripada 13 episod MML ini adalah cerita-cerita baru yang belum pernah disiarkan oleh kedua-dua majalah berkenaan.

Majlis pratonton episod pertamanya yang berjudul Perangkap Jin kepada pihak media pada 29 Mac lalu.

Selami dunia wartawan

MML secara ringkasnya adalah sebuah dokudrama yang mengisahkan pengembaraan seorang wartawan Mastika (lakonan Intan Liayana) dan sahabatnya (lakonan Alif Satar) untuk mencari kesahihan fenomena paranormal yang berlaku di seluruh negara.

Ternyata MML yang diarahkan oleh Hanif Hassan ini memang berbeza dengan program-program televisyen bersifat paranormal yang pernah disiarkan di kaca TV kita. Kekuatan dan perbezaan MML jelas pada konsepnya yang bercerita dengan fakta. Ia bukan longgokan fakta yang ditabur kemudian diulas- oleh pengacara supaya penonton mengakuinya.

Sebaliknya seperti mana Mastika, MML adalah sebuah cerita tentang pengembaraan wartawan ke seluruh negara untuk mencari kesahihan kejadian paranormal, tetapi dalam masa yang sama penonton dihidangkan dengan fakta demi fakta yang ditemui.

No comments:

Post a Comment