Sunday, April 3, 2011

Guru Samseng Pukul Murid/Murid Meninggal


Pelajar dipukul hampir dua jam
Laporan dan foto SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.

ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.


Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.


Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.


Murid meninggal dipukul guru asrama

ALOR SETAR 3 April — Murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lepas.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt. Nashir Ya berkata, suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada pukul 1.40 pagi Jumaat.

"Saya dapat panggilan daripada seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya kata tak ada. Lepas tu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena pindah ke hospital di Alor Setar," katanya di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata, dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya.

"Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup," katanya.

"Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami," tambahnya.

Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata, anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

"Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu," katanya.

Saiful Sopfidee berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada pukul 8 pagi pada hari Jumaat bahawa Saiful Syazani dimasukkan ke hospital kerana dipukul orang.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang Jumaat. - BERNAMA
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment