Sunday, April 3, 2011

Pengalaman


Pengalaman bumi bergoncang
Oleh YUSRI ABDUL MALEK
yusrimalek@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle

KURANG 36 jam selepas bencana berkembar gempa bumi dan tsunami melanda empat wilayah di timur laut dan utara Jepun, penulis sudah pun berada di Tokyo bagi membuat liputan berhubung kejadian alam kedua terburuk abad ini selepas tsunami di Acheh, Sumatera, Indonesia pada 26 Disember 2004.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kira-kira jam 7 malam (8 malam waktu Malaysia), penulis dan rakan wartawan lain dari Kumpulan Media Prima berpakat ke Kedutaan Besar Malaysia di Nanpeidai-Cho, Shibuyaku iaitu kira-kira 90 minit perjalanan dari Narita dengan menaiki kereta api laju.


Penulis bernasib baik kerana perkhidmatan kereta api laju disambung semula hanya sehari selepas kejadian. Kalau tidak, pasti perlu menaiki teksi yang tambangnya mampu mencecah ribuan ringgit.

sebelum selepas

Foto

LIPUTAN... penulis (dua dari kiri) bersama rakan wartawan.
Foto

KOSONG... rak makanan seperti roti dan biskut di pasar raya kehabisan stok.
Foto

ROSAK... banyak kenderaan tersadai selepas dibadai tsunami.
Foto

CARI... kertas tertulis nama mangsa yang hilang dilekatkan di pusat penempatan sementara.

Dalam kedinginan suhu mencecah lima darjah Celsius itu, ketibaan penulis dan rakan dimaklumkan kepada Duta Besar, Datuk Shaharuddin Md Som yang kemudian meluangkan masa untuk ditemubual walaupun jam ketika itu melewati 12 tengah malam.


Beliau menyatakan, kejadian gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter pada jam 1.45 petang (2.45 petang waktu Malaysia) 11 Mac itu diikuti tsunami setinggi kira-kira 10 meter hanya 45 minit selepas gempa berlaku.


Empat wilayah yang teruk terjejas ialah Ibraki, Fukushima, Miyagi dan Iwate meliputi 600 kilometer persegi. Kawasan lima kilometer dari pantai paling teruk dibadai tsunami.

Setakat ini anggaran kematian mencecah lebih 10,000 orang manakala 20,000 lagi dilaporkan hilang. Walaupun jumlah kematian tidak sebesar di Aceh iaitu 160,000 orang, ke musnahan yang berlaku hampir sama. Namun, syukur kerana tiada kecederaan atau kematian membabitkan rakyat Ma laysia.


Selepas sehari di Tokyo, penulis bergerak ke Fukushima yang terletak lebih 400 kilometer dari Tokyo bagi me nyaksikan kemusnahan yang berlaku dengan melalui lebuh raya yang hanya dikhaskan untuk kenderaan mencari dan menyelamat.

Ketika dalam perjalanan, dimaklumkan berlaku kebakaran pada dua daripada enam loji nuklear di Daiichi dalam wilayah Fukushima, menyebabkan bahan radioaktif terbebas ke uta ra.


Berita itu menyebabkan perjalanan terpaksa dilencongkan ke sebuah kawasan hotel di pergunungan kira-kira 100 kilometer dari loji berkenaan bagi mengelak terkena radiasi.


Pada masa sama, dilaporkan semua penduduk yang berada dalam lingkungan 30 kilometer persegi dari loji itu sudah dipindahkan.


Berikutan laporan itu, penulis dihubungi ibu pejabat bagi mengetahui keadaan sebenar kerana ketika itu faktor ke selamatan lebih penting dan arahan diberikan supaya segera meninggalkan kawasan itu.


Bagaimanapun, disebabkan keadaan logistik terhad, penulis terpaksa mengambil risiko terus berada di kawasan berkenaan dan pada masa sama Kedutaan Malaysia memaklumkan keadaan adalah terkawal dan bukan ‘kelam-kabut’ seperti dilapor media asing.


Khabar itu sedikit melegakan dan bagi menjimatkan masa, penulis dan rakan berjaga sepanjang malam bagi menyiapkan laporan sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan bencana di Sendai, Miyagi yang terletak lebih 300 kilometer dari hotel pada awal pagi ketika suhu mencecah -4 darjah Celsius.


Cukup sejuk, maklumlah cuaca ekstrem itu sedikit pun tidak diduga kerana pada waktu ini sepatutnya musim bunga.


Pada malam berkenaan juga berlaku beberapa gempa susulan, penulis hanya menyedari berlaku gempa apabila terendak lampu bergoyang dan bangunan hotel yang dibuat daripada kayu berbunyi ‘keriuk...’.


Di Sendai, penulis singgah sebentar di bandar itu dan terkejut mendapati bangunan masih tegak berdiri seolah-olah tiada berlaku gempa, kalau ada pun hanya kerosakan kecil. Jurubahasa yang mengikut penulis memaklumkan, bangunan yang dibina di Jepun adalah kalis gempa.


Kemudian, penulis bergerak ke kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sendai yang paling terjejas teruk kerana berada berhampiran pusat gempa. Keadaan di kawasan itu sungguh memeranjatkan kerana ibarat dilanggar garuda.


Kereta mewah pelbagai jenis yang berharga ratusan ribu kelihatan tersadai di tepi bangunan, dalam longkang dan tepi sawah. Rumah penduduk pula turut lenyap yang kelihatan hanya timbunan sisa rumah, bangunan dan sampah sarap.


Tiada orang di kawasan berkenaan kecuali beberapa ang gota tentera yang ditempatkan untuk berkawal dan di fahamkan, semua mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara yang dibuka sebaik bencana melanda. Tambahan cuaca ketika itu sejuk dan ribut salji kerap berlaku.


Berstatus sebagai negara maju, cara kerajaan Jepun me nangani bencana itu sungguh tersusun. Semua mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara seperti sekolah atau dewan majlis perbandaran dan tidak dibenarkan berada di kawasan kediaman masing-masing sehingga kerajaan mengisytiharkan keadaan adalah selamat.


Jadi, jika mahu menemui mangsa, penulis perlu pergi ke pusat penempatan. Melalui temubual bersama mangsa, ke banyakan mereka yang kehilangan ahli keluarga tabah meng hadapi bencana itu dan berkeyakinan mereka mampu bangkit semula daripada kemusnahan yang berlaku.


Ini berbeza ketika penulis membuat liputan tsunami di Acheh, walaupun mangsa ditempatkan di khemah sementara tetapi keadaannya tidak tersusun.


Malah, mangsa masih boleh pulang ke kediaman masing-masing untuk mencari barangan berharga sekalipun masih banyak berlaku gempa susulan.


Yang menghairankan penulis, sepanjang berada di kawasan bencana itu sama ada di Iwate, Miyagi dan Fukushima tidak kelihatan pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat mangsa. Mungkin kebetulan ketika itu tiada mayat ditemui.


Media tempatan juga tidak menyiarkan penemuan mayat mangsa, jika ada pun ia dilaporkan media asing.


Selepas enam hari di kawasan bencana, penulis memulakan perjalanan ke Tokyo untuk pulang ke tanah air. Sesungguhnya, bencana berkembar yang berlaku di utara Pulau Honshu itu mengingatkan kita bahawa secanggih mana pun teknologi yang kita ada, ia masih tidak mampu mengatasi kuasa alam semula jadi.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment