Monday, April 4, 2011

Vsex

Selepas lebih 20 tahun, isu aksi seks bergema lagi di Parlimen?

Oleh Hassan Mohd. Noor

AKSI sama ada dalam bentuk gambar atau video yang dirakam melalui kamera, telefon, CCTV atau sebagainya memang bahaya. Sama ada untuk suka-suka sekadar hiburan, simpanan peribadi dan sebagainya, ia tetap bahaya apabila terjatuh ke tangan orang lain.

Maka menjelang pilihan raya umum ini, eloklah mana-mana ahli politik yang pernah merakamkan pelbagai aksi yang boleh dianggap tidak manis, tidak bermoral dan tidak sesuai dengan budaya dan adat resam tempatan haruslah memusnahkan bahan- bahan itu lebih awal. Tidak perlu disimpan untuk kenangan dan sebagainya. Ingat jika terjatuh ke tangan orang lebih-lebih lagi ‘musuh’, maka buruk padahnya. Kepada mereka yang memiliki rakaman pelbagai aksi ‘berbahaya’ ini jangan pula mengambil kesempatan mengugut orang ini untuk mendapat habuan.

Sebenarnya sudah banyak cerita mengenai pendedahan aksi peribadi ini. Menyelak kembali isu seumpama ini, tentunya masih ramai yang ingat mengenai gambar-gambar separuh ‘bogel’ yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan bekas Menteri Kesihatan, Dr. Chua Soi Lek. Bagaimanapun Elizabeth yang juga Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tetap bertahan dengan kedudukannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor. Soi Lek pula meletak semua jawatan dalam kerajaan dan parti. Bagaimanapun ‘keberanian dan keikhlasannya’ membuat pengakuan telah melonjakkannya kembali sebagai pemimpin MCA.

Itu berkaitan dengan aksi seks. Tetapi video yang berkaitan dengan hiburan juga terkena tempiasnya. Mungkin ada yang masih ingat bagaimana seorang Menteri Besar (MB) akhirnya meletak jawatan gara-gara kehadirannya pada satu majlis keraian dirakam dan disebarkan pada tahun 1984.

Video bertajuk Mentoya itu hanyalah berkaitan MB berpakaian ala Mexico sesuai dengan tema majlis anjuran penganjur. Sebagai orang politik yang sentiasa menjaga hati rakyat, tentulah perkara itu bukannya sesuatu yang memberatkan, apatah lagi ia bukan aksi lucah. Namun disebabkan keghairahan parti lawan mencari silap, maka isu itu menjadi besar dan pembangkang ‘menangguk di air keruh’ dengan menyifatkan aksi itu bercanggah dengan Islam. Kemuncaknya, MB itu terpaksa bercuti dan tidak lama kemudian meletak jawatan.

Baru-baru ini pula, beberapa pemimpin politik menyelak kembali isu pita video, gambar dan negatif berkaitan seks yang melibatkan D.P Vijandran, Setiausaha Agung MIC ketika itu yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Pendedahan isu ini bergema di Dewan Rakyat pada 1989 yang juga akhirnya menyebabkan Vijandran meletak jawatan pada 24 Februari 1990.

Sebelum itu pada 11 Disember 1989, di Dewan Rakyat, Karpal Singh (DAP Jelutong) membangkitkan isu skandal video lucah yang didakwanya melibatkan Vijandran yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat.

Antara dakwaan Karpal ialah: ‘‘Tuan Speaker tidak ada hak untuk duduk di kerusi itu’’ dan ‘‘Tuan Speaker jadi pelakon dalam video lucah ini.’’

Kecoh Dewan ketika itu sehingga Vijandran menangguhkan mesyuarat. Setelah disambung, Anwar Ibrahim (BN Permatang Pauh) yang ketika itu sebagai Menteri Pendidikan bangun mencadangkan agar wakil Jelutong digantung perkhidmatannya sehingga ke akhir tempoh mesyuarat. Akhirnya Vijandran yang juga Ahli Parlimen Kapar meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Isu video tidak habis di situ. Dalam satu lagi mesyuarat pada 27 Februari 1990, Kit Siang (DAP Tanjong) menjadikan isu moral dan maruah pemimpin dalam BN sebagai modal ucapannya. Kit Siang dan Anwar juga bertikam lidah mengenai isu ini.

Anwar antara lain berkata: Saya fikir seperti biasa sandiwara Ketua Pembangkang ini sudah lebih daripada batasnya. Dia membuat satu andaian bahawa ahli-ahli Jemaah Menteri diberi maklumat terperinci tentang pita video. Bukan kerja saya, bukan minat saya untuk melihat seperti mana minat peribadi beliau. Saya tidak berminat untuk mempertahankan sesiapa juga yang disabitkan bersalah dalam kes seperti ini tetapi bukan kerja saya untuk menjadi Ketua Hakim menghukum apatah lagi kes ini sedang dipertimbangkan dan akan diputuskan oleh mahkamah,’’

Kit Siang juga menghentam Anwar. Antara lain beliau berkata:

‘‘Nampaknya Yang Berhormat Menteri Pendidikan mahu memberi satu gambaran bahawa ia champion mengenai perkara-perkara moral dalam Malaysia, tetapi dalam perkara ini, ia tidak ada moral’’.

Begitulah insiden yang berlaku di Dewan Rakyat ketika timbul isu 11 pita video, gambar-gambar dan filem negatif melibatkan Vijandran. Adakah selepas lebih 20 tahun, isu aksi seks wakil rakyat bergema lagi di Dewan Rakyat?

Dan semalam, Karpal Singh dilaporkan mencadangkan video yang dikatakan melibatkan aksi lelaki mirip pemimpin pembangkang itu ditayangkan kepada ahli-ahli Parlimen.

Pastinya sidang yang sedang berlangsung akan bertambah panas dengan isu ini. Adakah pembangkang yang sering kali membangkitkan penubuhan suruhanjaya diraja akan menyokong penubuhannya jika kerajaan mencadangkan demikian? Tentang penayangan video itu, adakah ahli-ahli YB sanggup menontonnya?.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali ketika isu video Vijandran dibangkitkan pernah mencelah dalam satu sesi: Saya hendak beritahu, kalau dapat video tu tak usahlah ditayangkan, saya tidak mahu tengok.

Tetapi kali ini, sebagai sahabat, Ibrahim pasti tidak mahu melepas peluang menonton atau beliau sudah pun menontonnya?

Akhirnya sebelum menyelak pintu Selak ini, penulis tertarik dengan kumpulan wanita termasuk ahli-ahli YB pembangkang yang mempamerkan pelbagai poster mengutuk kemunculan video aksi seks lelaki mirip pemimpin pembangkang ini.

Kadang-kadang timbul rasa simpati dan kasihan melihat mereka mengadakan demonstrasi sambil mempamerkan poster itu di Parlimen dan pekarangan balai polis. Diharapkan ketika mereka mengangkat poster-poster itu, jangan lupa wanita yang menjadi mangsa.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment