Tuesday, January 18, 2011

Pengumpul Mastika


Pengumpul sejati Mastika

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto YATIMIN ABDULLAH

Sebahagian daripada koleksi Mastika milik Suriyati yang dikumpulkan sejak 1997.

KETEKUNAN Suriyati Muhammad membaca majalah Mastika membuatkan dia tidak pernah peduli jika ada orang yang memandangnya dengan wajah pelik.

Bagi wanita berusia 41 tahun itu, yang lebih penting minatnya terhadap majalah tersebut dapat dipenuhi tidak kira apa pun pandangan orang terhadapnya.

Bagi Suriyati, majalah keluaran Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) itu punya tarikan tersendiri untuk memaku perhatiannya agar terus membaca setiap helaian tanpa jemu.

Biarpun ada yang mendakwa isi kandungan Mastika kebanyakannya 'auta' atau penuh tahyul namun hatinya tetap menerima baik topik yang dipaparkan oleh majalah berkenaan.

Suriyati tidak menilai kebagusan sesebuah majalah itu hanya berdasarkan gambar animasi yang menjadi penghias kulit hadapan.

''Mastika banyak menyedarkan saya tentang apa yang berlaku di sekeliling saya. Paparan kisah masyarakat sama ada disedari atau tidak, semuanya berada di situ. Masing-masing ada pengajaran tersendiri,'' katanya.

Elemen tersebut mendorong ibu kepada empat cahaya mata itu mengumpul naskah yang diterbitkan setiap bulan sejak 1997.

Ratusan majalah tersebut tersusun rapi di ruang tamu seperti ruangan pameran kemudiannya berpindah ke kamar beradu setelah 'kehilangan' beberapa naskah yang dipinjamkan kepada rakan terdekat.

Jujurnya, bukan mahu disorok majalah berkenaan tetapi rasa sayang bercampur geram apabila salah satu edisi ompong dek perbuatan yang disengajakan.

Akibatnya, Suriyati menjadi lebih 'kedekut' apabila orang bertanyakan tentang asetnya itu. Perkataan pinjam lebih ditakuti kerana frasa tersebut juga boleh menyebabkan hidupnya kucar kacir setelah memikirkan kekurangan bilangan naskhah majalah Mastika miliknya itu.

Disebabkan terlalu mengikuti lenggok bahasa Mastika, secara tidak langsung menimbulkan idea Suriyati untuk menyumbang karyanya. Biarpun bergelar penulis amatur tetapi dia tidak kisah kerana semata-mata di atas minat yang mendalam.

Antara karya yang pernah disiarkan berjudul Tragedi Siti Mastika yang turut mendapat perhatian Penolong Pengarang Mastika, Sahidan Jaafar. Orientasi coretan kisah masyarakat bertulis tangan turut mendapat respons positif setelah disiarkan pada Oktober 2010 lalu.

''Saya tidak kisah kalau ada orang yang memperkecil-kecilkan bakat saya. Sebabnya saya tahu kemampuan sebenar diri dan niat saya cuma satu, berkongsi kepada pembaca Mastika semua,'' katanya mengakhiri perbualan.

TAJUK-TAJUK BERITA

No comments:

Post a Comment