Thursday, January 20, 2011

Forum

Peminat Forum saran ruangan ditambah

SAYA merupakan antara peminat ruangan Forum dan Pendapat di Utusan Malaysia.

Saya yakin ramai pembaca meminati ruangan ini untuk melihat pandangan dan komen tentang pelbagai isu.

Kadang-kadang timbul rasa kecewa bila banyak surat yang die-mel ke ruangan ini tidak tersiar mungkin disebabkan e-mel terlalu penuh atau mungkin terlalu banyak e-mel yang terpaksa ditapis.

Justeru saya ingin mencadangkan agar ruangan Forum ini dijadikan dua muka penuh setiap hari tanpa terkecuali termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.

Buat pengasingan antara surat yang 'berkualiti' di ruangan Pendapat dan surat 'aduan' di ruangan Forum.

Usaha ini akan melahirkan lebih ramai golongan penulis yang berwibawa khususnya di ruangan Pendapat.

Saya yakin kedua-dua ruangan ini jika 'diperbesarkan' skopnya akan menjana pemikiran dan melahirkan pelbagai pandangan yang bernas untuk melihat 'suara rakyat' bagi disalurkan kepada 'pemimpin' dan 'pembaca' akhbar ini.

Saya juga cadangkan ruangan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) turut diperbanyakkan. Banyak yang merungut wang SMS dibazirkan kerana gagal disiarkan.

Sebagai seorang yang minat menulis sejak sekian lama, saya bimbang minat ini akan 'padam' apabila idea, masa dan wang ringgit yang diperah dari minda ini tidak tersiar dan menyebabkan kami mula 'malas' untuk menulis di akhbar.

Pandangan ini turut disuarakan oleh beberapa rakan yang pernah menghantar surat ke akhbar dan ada antara mereka sudah tidak mahu lagi menulis ke dada akhbar.

Sebagaimana berkesannya rancangan Aduan Rakyat TV3, Utusan juga mungkin dapat mengunakan ruangan Forum dan Pendapat setiap hari untuk memaparkan sesuatu isu yang dapat mengubah sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita ke arah kebaikan.

LUKMAN MOIDIN

Kuala Nerang

No comments:

Post a Comment