Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Wednesday, January 12, 2011
Kuda Tua
Warga emas bersama GRO
SEREMBAN – Seramai 19 gadis yang dipercayai bertugas sebagai pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan lebih 30 pelanggan yang asyik minum arak, ditahan dalam serbuan ‘Ops Noda’ di pusat hiburan Jalan Utam Sigh, di sini, kelmarin.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, kira-kira jam 8.20 malam.
Pegawai Operasinya, Cif Inspektor Hasbullah Hamzah berkata, semua GRO yang ditahan itu, masing-masing berumur dalam lingkungan 24 hingga 48 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, pihaknya juga berjaya menahan beberapa warga emas berumur lewat 74 tahun yang sedang asyik melayan GRO yang dilanggan.
“Selain 32 pelanggan berumur 22 hingga 74 tahun, tiga wanita tempatan berumur lingkungan 40-an dipercayai ‘ibu ayam’ kepada semua wanita berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Ketika serbuan, semua wanita asing terbabit leka melayan pelanggan masing-masing sebelum tersentak sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya.
Bagaimanapun Hasbullah berkata, mereka tidak cuba melarikan diri dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang pemeriksaan dilakukan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 19 wanita asing yang ditahan, masing-masing terdiri daripada 15 warga China dan empat warga Vietnam.
"Mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi telah disalahgunakan bagi tujuan melakukan perbuatan tidak bermoral," katanya.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati premis yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu, pernah diserbu beberapa kali sebelum ini namun masih berdegil menjalankan kegiatan berkenaan.
"Justeru, tiga wanita tempatan yang ditahan dan dipercayai penjaga premis terbabit, akan disiasat mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen kerana memberi perlindungan kepada warga asing.
"Sementara, semua GRO tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment