Tuesday, January 18, 2011

Silap Potong Dapat RM100,000

Suri rumah terima RM100,000

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my
IPOH 17 Jan. - Kes saman seorang suri rumah yang kehilangan buah dada kirinya sejak lima tahun lalu akibat kesilapan pembedahan di sebuah hospital kerajaan berakhir hari ini apabila wanita itu bersetuju menyelesaikan tuntutannya di luar mahkamah.

Persetujuan tersebut dicapai setelah T. Silvarany, 56, menerima tawaran ganti rugi berjumlah RM100,000 daripada pihak defendan ketika kes itu disebut di Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Tarmizi Abdul Rahman kemudian merekodkan persetujuan tersebut.

Silvarany sebelum ini memfailkan saman RM2 juta terhadap pakar bedah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. L. Vasu Pillai; Pengarah hospital tersebut, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan cuai semasa melakukan pembedahan itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan, dia telah pergi ke hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan berikutan sakit dalam perut pada 2005.

Menurutnya, pemeriksaan doktor kemudian mengenal pasti puncanya sebagai fibroid iaitu ketumbuhan pada dinding rahim.

Ujar plaintif, setelah ketumbuhan berjaya dibuang, pemeriksaan lanjut mendapati ada gumpalan atau ketumbuhan lain pada buah dada kiri yang disyaki sebagai barah buah dada.

Silvarany kemudian dimasukkan semula ke wad HRPB pada 6 September 2005 dan menjalani pembedahan untuk membuang buah dada kirinya pada keesokan harinya.

Menurutnya, semasa melakukan rawatan susulan pada Oktober 2008, seorang doktor pakar memberitahunya bahawa pembedahan membuang buah dadanya adalah satu kesilapan kerana dia sebenarnya tidak menghidap penyakit barah buah dada.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Silvarany berkata, dia bersyukur dan berpuas hati dengan jumlah pampasan yang diterimanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Khairul Fazley Kamarudin hadir mewakili pihak defendan manakala plaintif diwakili peguam A. Sivanesan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment