Wednesday, January 12, 2011

Kena Renjatan



Maut kena renjatan elektrik
Oleh Mohd Fitrie Muhamad dan Fazurawati Che Lah


DI SINI...nenek mangsa, Leba Mat Min, menunjukkan tempat cucunya maut terkena kejutan elektrik.
TUMPAT: Seorang wanita terbunuh selepas terkena renjatan elektrik apabila wayar dipegangnya ketika menaiki tangga di hadapan rumah terputus sebelum dia terjatuh ke dalam air dalam satu kejadian di Kampung Simpangan Hulu, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari apabila mangsa, Sazila Rosli, 27, yang tinggal sementara di rumah ibu mentuanya, terpegang wayar berkenaan apabila dia hampir jatuh selepas gagal mengimbangi dirinya ketika menaiki tangga berkenaan.
Wayar masih mempunyai voltan elektrik itu terputus dan Sazila yang terkena renjatan terjatuh ke bahagian bawah tangga yang masih ditakungi air akibat banjir baru-baru ini.

Suami mangsa, Mahadi Yahya, 30, yang terdengar jeritan berkenaan segera mendapatkan isterinya dan mengejarkannya ke Hospital Kelaboran, di sini, sebelum isterinya disahkan meninggal dunia.


Menurutnya, dia dan Sazila tinggal di rumah ibunya sejak tiga hari lalu berikutan rumah mereka di Kampung Pauh Sebanjar, di sini, tenggelam akibat banjir.


“Ketika kejadian, saya sedang membersihkan kawasan rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan isteri.

“Sebaik terdengar jeritan, saya berlari ke arah jeritan itu dan terkejut mendapati dia dalam keadaan tertiarap berhampiran tangga,” katanya.

Mahadi berkata, mereka berkahwin sejak 10 tahun lalu dan belum dikurniakan anak.

“Arwah terlalu inginkan anak dan kami sebenarnya berhajat mengambil anak angkat,” katanya yang terkilan kerana hasrat itu tidak terlaksana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan memberitahu mangsa meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik.

“Polis mengklasifikasikan kes menimpa Sazila ini sebagai kematian mengejut,” katanya.

No comments:

Post a Comment