Minyak masak, buaya tembaga dan banjir warnai ketibaan tahun baru di Pahang
MESKIPUN diari 2011 baru sahaja dibuka, pelbagai cerita suka duka melanda penduduk negeri ini.
Antara isu paling hangat dalam tempoh seminggu dua ini adalah kekurangan minyak masak yang berlaku secara tiba-tiba sehingga menimbulkan kegelisahan pengguna yang gagal mendapatkan bekalan.
Lantaran itu, timbul spekulasi bahawa kekurangan bekalan tersebut berpunca daripada rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak masak.
Sama ada benar atau tidak dakwaan itu, krisis itu bagaimanapun semakin pulih apabila ratusan tan minyak masak dihantar ke premis-premis perniagaan di sekitar negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Walaupun isu minyak masak kian reda, namun, penduduk Pahang terus dibelenggu kebimbangan berikutan hujan yang masih mencurah-curah sehingga mengakibatkan beberapa kawasan terutama di kawasan rendah dilanda banjir.
Nasib sama juga dialami oleh sebahagian besar penduduk di negeri-negeri berjiran iaitu Terengganu dan Kelantan.
Cuma yang membezakan adalah nasib saudara kita di Kelantan dan Terengganu lebih teruk berbanding di Pahang.
Sehingga artikel ini disiarkan, hanya daerah Kuantan yang dilanda banjir, itu pun dianggap tidak serius kerana ia hanya membabitkan kawasan Balok dan Cherating.
Bilangan penduduk yang dipindahkan di Pahang juga tidak begitu ramai iaitu 244 orang berbanding kira-kira 2,000 orang di Kelantan dan 1,000 orang di Terengganu.
Bagi penduduk Kuantan, isyarat banjir besar masih belum bermula kerana mukim Sungai Lembing belum ditenggelami air.
Sungai Lembing selama ini dijadikan sebagai penanda aras kepada bencana banjir bagi daerah Kuantan. Tenggelamnya Sungai Lembing bermakna akan tenggelamlah bandar Kuantan.
Namun, ada juga cakap-cakap nakal sesetengah pihak yang mendakwa Pahang bakal dilanda banjir besar pada tahun ini berikutan penemuan dua ekor buaya tembaga sesat di pantai Teluk Chempedak dan Kampung Sungai Soi, baru-baru ini.
Entah apa kaitannya antara buaya dan banjir, belum ada kajian saintifik yang dapat mengesahkannya.
Apa yang pasti, kedua-dua reptilia itu tersesat kerana dibawa arus Sungai Kuantan yang deras.
Berbalik kepada isu banjir, daerah-daerah lain kecuali Kuantan masih belum dikejutkan dengan banjir besar selain banjir kilat yang sekali-sekala melanda Lipis dan Jerantut sebelum ini.
Meskipun begitu, penduduk di Pahang keseluruhannya tidak boleh lagi merasa lega kerana musim tengkujuh masih belum berakhir.
Sejak awal Disember lalu hingga hari ini, cuaca masih tidak menentu apabila langit sentiasa mendung dan kadangkala hujan.
Sinaran matahari juga tidak terpancar sepanjang masa kerana sering dilindungi awan mendung tebal.
Penduduk Pahang terutama yang tinggal di persisiran sungai perlu mempertingkatkan tahap kewaspadaan kerana air sungai-sungai utama seperti Sungai Pahang dan Sungai Tembeling berada pada paras yang membimbangkan.
Di sebalik kerisauan itu, penulis tertarik dengan idea kreatif lagi inovatif yang dilakukan penduduk kampung di persisiran Sungai Tembeling, Jerantut.
Setiap kali tiba musim tengkujuh penduduk kampung terbabit akan memasang 'pelampung' yang diletakkan di bahagian bawah lantai rumah masing-masing.
Pelampung tersebut merupakan tong deram yang diisi dengan gas bagi tujuan mengapungkan rumah jika banjir besar melanda.
Ia merupakan langkah keselamatan kepada penghuni rumah terutama ketika air naik mendadak pada waktu malam atau awal pagi.
Bagi memastikan rumah mereka tidak dihanyutkan air deras, penduduk menambat kediaman masing-masing dengan tali jut atau tali kapal di beberapa batang pokok besar.
Meskipun terpaksa berbelanja antara RM300 hingga RM500 untuk menyediakan kira-kira 20 tong deram berisi gas itu, ia amat berkesan untuk menyelamatkan rumah serta harta benda penduduk terbabit ketika banjir.
Demikianlah kreatif dan inovatifnya penduduk di pedalaman Pahang dalam menangani masalah banjir yang melanda perkampungan mereka setiap tahun.
Benarlah seperti diperkatakan oleh cerdik pandai bahawa kreativiti itu akan datang apabila seseorang atau masyarakat itu dilanda musibah.
Sebelum mengakhiri coretan ini, tidak salah kiranya penulis memberikan kata-kata nasihat terutama kepada ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak bermain di pantai berikutan laut yang bergelora pada masa ini.
Semuanya kerana penulis merasa terkejut melihat gelagat sekumpulan kanak-kanak yang mandi-manda di Pantai Batu Hitam, Balok sedangkan ketika itu ombak setinggi kira-kira tiga meter mengganas menghempas pantai, kelmarin.
Kita tidak mahu kes-kes lemas terus dilaporkan di dada akhbar hanya kerana kelalaian diri sendiri dalam mengawasi anak-anak pada musim tengkujuh ini.
Begitu juga dengan penduduk di tebing-tebing sungai yang ketika ini amat deras alirannya.
Jangan 'sudah terhantuk baru terngadah' kerana apabila 'nasi telah menjadi bubur,' semuanya tidak berguna lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment