Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Wednesday, January 12, 2011
Nasib Penoreh
Kerugian berganda penoreh
PASIR MAS – Ekoran kenaikan paras air di Sungai Kelantan baru-baru ini, penduduk mengalami kerugian yang banyak apabila barangan rumah mereka tidak dapat diselamatkan.
Penduduk, Ghani Md Man, 58, berkata, dia yang hanya bekerja sebagi penoreh getah bukan sahaja menanggung kerugian akibat kerosakan peralatan rumah, malah tidak dapat keluar menoreh ekoran ladang dipenuhi air sehingga paras pinggang.
“Saya hanya mendapat upah menoreh getah daripada pemilik tanah di Bakong, namun ekoran limpahan air, saya terpaksa berehat di rumah bersama keluarga,” katanya semalam.
Ghani berkata, dia juga terpaksa berjimat cermat kerana keperluan makanan di rumah semakin berkurangan kerana berkongsi bersama anak dan empat cucunya.
Menurutnya, meski paras air semakin surut, dia tidak mahu menanggung risiko keluar bekerja kerana risaukan keselamatan berada di ladang seorang diri.
Beliau berkata, kebanyakan penduduk di situ masih berada di rumah dan sebahagian berpindah ke pusat pemindahan terdekat untuk menerima bekalan makanan yang disalurkan pihak berkuasa.
“Jika saya keluar juga, saya risau akan terserempak binatang berbisa seperti ular yang biasanya keluar dari sarang apabila lubangnya dipenuhi air,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Gelang Mas, Hashim Ibrohim, 42, berkata, dia juga terpaksa berehat seketika sementara air mulai surut di ladang getah miliknya.
“Di sini, banjir akan berlaku lebih daripada tiga kali setahun, maka ladang saya pasti tenggelam seperti ladang-ladang penduduk yang lain,” katanya.
Hashim berkata, dia mengamalkan aspek keselamatan dengan tidak keluar seorang diri selepas berlakunya banjir di kawasan tersebut, kerana risau dengan kehadiran binatang berbisa yang mencari makanan.
Menurutnya, dia sanggup menunggu selama beberapa hari selepas banjir, bagi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga lebih terjamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment