Friday, January 14, 2011

Mati Atas Pokok

Mati atas pokok

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 13 Jan. - Seorang pekerja asing warga Nepal ditemui mati di atas sebatang pokok kelapa setinggi kira-kira 20 meter di Kampung Tok Muda, Machang Bubuk, di sini malam semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Thika dikatakan baru tiba di negara ini dan bekerja di sebuah kilang papan di situ.

Dia ditemui mati dalam keadaan lehernya terjerut dengan tali pinggang yang diikat pada pucuk pokok kelapa oleh anggota bomba selepas lebih 12 jam berada di atas pokok itu.

Difahamkan, dia memanjat pokok itu untuk bersembunyi daripada pemilik sebuah dusun durian yang menegurnya.

Pemilik kebun itu, Arshad Abu Seman, 30, berkata, dia terserempak dengan mangsa ketika sedang menjaga dusun durian pukul 10.30 malam.

Katanya, dia menegur Thika kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum secara tiba-tiba lelaki itu memanjat pokok kelapa terbabit.

"Sambil memanjat, dia berkata sesuatu dalam bahasa Nepal. Mungkin sebab terlalu takut dia berselindung di celah pelepah kelapa biarpun saya dan seorang rakan memujuknya supaya turun.

"Malah dia bertindak membaling buah kelapa kepada kami menyebabkan kami terpaksa beredar dari situ," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Arshad, sehingga pagi ini dia menunggu Thika turun dari pokok selain beberapa rakan senegaranya cuba memujuknya namun tiada sebarang balasan.

"Saya tak sangka dia sanggup bertindak menjerut lehernya sendiri akibat terlalu takut," ujarnya.

Sementara itu Penguasa Bomba 2, Balai Bomba Bukit Mertajam, Rejab Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam tentang kejadian berkenaan pukul 9.54 pagi.

Katanya, sebuah sebuah jentera bersama tujuh anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Operasi menyelamat mangsa yang disangka masih hidup menghadapi kesukaran kerana pokok kelapa itu terlalu tinggi dan licin selain banyak kerengga.

"Usaha pihak bomba untuk menggunakan 'skylift' juga tidak berhasil kerana jalan dan jambatan yang menghubungkan lokasi kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama terlalu sempit," katanya.

Jelasnya, mujurlah pihaknya mendapat bantuan seorang penduduk kampung yang menawarkan diri untuk memanjat pokok kelapa itu untuk membawa turun Thika.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment