Tuesday, January 11, 2011

Erni

Erni harap kes diselesaikan

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, berharap kes bunuh melibatkan ibunya yang juga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dapat diselesaikan segera pada tahun ini.

Beliau berkata, ia akan mengelak timbulnya pelbagai tanda tanya daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarganya mengenai perjalanan kes tersebut.

"Setiap masa orang bertanya kepada saya tentang kes pembunuhan ibu. Jadi, saya berharap kerjasama daripada semua pihak untuk menyelesaikan segera kes ini.

"Saya sedia maklum sebutan kes telah ditunda sehingga hujung bulan ini dan berharap ia dapat diselesaikan segera apabila sebutannya disambung nanti bagi mengelak lebih banyak persoalan mengenai kes itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas hadir menyampaikan ceramah pada Seminar Keusahawanan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.

Sebutan kes peguam, N. Pathmanabhan dan tiga lagi yang didakwa membunuh Sosilawati di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting ditangguhkan sehingga 27 Januari ini.

Ia bagi membolehkan prosiding semakan dan rayuan yang difailkan oleh salah seorang pekerja ladang bekas peguam itu didengar dan diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sosilawati serta pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Setelah lebih seminggu hilang akhirnya misteri itu terjawab apabila polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September tahun lalu.

Keempat-empat mereka dibunuh secara kejam oleh suspek dengan mayatnya dibakar manakala abu pula dibuang ke dalam sungai dekat Ladang Gadong, Banting.

Dalam pada itu, Erni yang kini Pengarah Urusan Nouvelle Visages berkata, setakat ini perniagaan yang ditinggalkan ibunya masih berada dalam keadaan baik.

"Walaupun perniagaan kosmetik itu kehilangan ibu, jualan produknya masih baik.

"Apa yang saya dapat beritahu setakat ini semuanya berjalan lancar dan sebagai Pengarah Urusan yang baru, saya perlu banyak belajar untuk memajukan syarikat," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment