Wednesday, January 19, 2011

Masalah Air

Atasi masalah bekalan air di Bera

Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my
BERA 18 Jan. - Penderitaan lebih 20,000 penduduk daerah Bera terutamanya para peneroka di Gugusan Felda Bera yang sebelum ini berhadapan dengan masalah bekalan air paip sejak 30 tahun lalu akan berakhir tidak lagi.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf loji bekalan air dan menggantikan saluran paip yang sudah usang.

Menurut beliau, penduduk di daerah itu sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air paip berikutan masalah tekanan air rendah dan paip yang sudah usang, pecah dan bocor.

''Dengan peruntukan itu, kerja-kerja mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh para peneroka dan penduduk kampung tradisional akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

''Saluran paip lama yang berusia lebih 30 tahun itu perlu diganti selain beberapa buah loji bekalan air di Bera, Triang dan beberapa kawasan lain dinaik taraf berikutan pertambahan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Aplikasi Teknologi anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berlangsung di Dewan PPRT Paya Serai , Kuala Bera dekat semalam.

Menurut beliau, loji sedia ada tidak berupaya membekalkan air kepada penduduk di daerah itu kerana jumlah penduduk terus meningkat setiap tahun.

Ismail Sabri memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan tersebut sewaktu beliau menemuinya minggu lepas.

Menurutnya, Perdana Menteri sangat yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh peneroka terus memberikan bantuan.

Sehubungan itu, beliau berharap, peneroka bersabar sementara kerja-kerja membaiki dijalankan oleh Jabatan Bekalan Air Pahang.

No comments:

Post a Comment