Wednesday, January 26, 2011

Menjadi Isu Anak Nogori

Penempatan: Guru Gred 17 kesal cara pegawai JPNS

SAYA merupakan salah seorang calon yang berjaya ditempatkan ke dalam perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan telah diarahkan lapor diri ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Isnin lalu.

Apa yang mengecewakan saya ialah sikap pegawai yang mengendalikan kami di JPNS. Sikap yang ditonjolkan kepada kami tidak mencerminkan sikap seorang pegawai kerajaan yang sepatutnya.

Mereka seolah-olah memandang rendah terhadap kami yang terdiri daripada gred 17 (N17, W17) melalui cara percakapan dan ayat yang disampaikan kepada kami.

Sudahlah kami diarahkan duduk di koridor sepanjang hari pertama lapor diri di JPNS. Pada minit terakhir sebelum waktu pejabat tamat pada pukul 5, barulah kami diberitahu oleh salah seorang pembantu tadbir di situ, bahawa segala keputusan penetapan jawatan kami akan diberitahu 'mungkin' keesokannya. Dia mengarahkan kami pulang seperti tidak mengalu-alukan kedatangan kami.

Keesokannya, kami hanya diberitahu tentang penempatan kami menjelang waktu rehat tengah hari dan apa yang mengecewakan kami, daripada 25 orang yang telah disenaraikan nama untuk melaporkan diri ke JPNS, hanya 12 orang yang diberi tempat di sekitar Negeri Sembilan. Lebih separuh telah ditolak ke negeri-negeri lain dan perlu membuat rayuan penempatan semula (sekiranya tidak bersetuju) ke Putrajaya, dengan alasan Negeri Sembilan sudah penuh dan tiada lagi tempat kosong.

Apa yang amat mengecewakan saya, makluman dari Putrajaya yang saya dapati, sebenarnya terdapat 30 kekosongan di Negeri Sembilan dan segala penempatan di negeri adalah atas urusan pihak JPNS. Jadi sekiranya terdapat 30 kekosongan, mengapa 13 orang dari 25 kami seolah-olah telah 'ditendang' keluar akibat ketidakadilan yang mungkin berlaku di JPNS tanpa pengetahuan kami. Sekiranya kami ditempatkan di luar Negeri Sembilan, mengapa pihak SPP Putrajaya sendiri tidak menyenaraikan nama kami ke luar Negeri Sembilan awal-awal lagi?

ANAK NOGORI,

Seremban, Negeri Sembilan



'Anak Nogori' belajarlah jadi manusia bersyukur

MOHD. RASHIDI AB. RAOF
Putrajaya
Saya merupakan seorang penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan. Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah membaca tulisan Anak Nogori yang disiarkan di ruangan ini pada 21 Januari 2011, berkenaan dengan kekesalan beliau tidak ditempatkan bertugas di Negeri Sembilan setelah melapor diri di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Anak Nogori kerana berjaya ditawarkan untuk berkhidmat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), dalam erti kata lain berkhidmat dengan kerajaan. Mungkin ada juga calon yang turut memohon sehingga sekarang masih tidak ditawarkan tempat.

Apabila saya membaca luahan itu saya memahami situasi tersebut kerana saya dan lain-lain penjawat awam pernah melaluinya, cuma bezanya tempat melapor diri. Pada hemat saya, mungkin ada kesilapan sama ada dari pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau pihak SPP di Putrajaya dalam menempatkan pegawai baru.

Saya tersenyum apabila Anak Nogori seolah- olah tidak berpuas hati mengenai perkara ini, lantas beliau mengharapkan tiada unsur politik dalam perkara tersebut. Tersenyum saya membacanya. Kepada Anak Nogori, belum pun bertugas sudah mengeluh, tak puas hati dan disiarkan dalam khabar. Apa tujuannya? Kita ada saluran dan ikutlah saluran tersebut. Nama Anak Nogori bukan tiada, cuma tidak ditempatkan di Negeri Sembilan. Saya juga anak jati Negeri Sembilan dan tiada masalah untuk bertugas di tempat lain.

Untuk makluman Anak Nogori, adik perempuan saya pada penghujung tahun 2010 menerima surat tawaran dari Jabatan Pelajaran Negeri Kedah untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik di salah sebuah sekolah menengah di sana. Saya sendiri dan keluarga yang menghantarnya melapor diri di Pejabat Pelajaran Negeri Kedah di Alor Setar sebelum mengetahui sekolah mana ia ditempatkan. Saya akui pada mulanya keluarga terutama ayah dan emak terperanjat dengan tawaran tersebut. Namun keluarga menerimanya dengan berlapang dada. Orang tua saya membuat kenduri kesyukuran dan doa selamat sebelum adik saya melapor diri.

Saya begitu yakin semasa kita ditemu duga dahulu panel penumuduga ada bertanya; "Adakah sanggup untuk bertugas di negeri lain?". Jawapan yang lancar di mulut; "Ya, saya sedia bertugas di mana-mana sahaja jika ditawarkan."

Justeru itu, kepada Anak Nogori berpijaklah di bumi nyata. Bukan anda seorang sahaja yang nak dilayan, malah ramai lagi. Itu belum lagi yang bertugas di Sabah dan Sarawak ataupun orang Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung. Mungkin pada masa ini Anak Nogori tidak berpeluang untuk bertugas di negeri kelahiran sendiri. Insya-Allah, satu masa nanti Anak Nogori akan dapat juga akhirnya.

Setiap sesuatu itu pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui. Di luar sana masih ramai yang tidak berpeluang menikmati apa yang kita kecapi. Jadilah insan yang sentiasa bersyukur.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment