Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Sunday, January 23, 2011
Syirk Pocong
Hindar segera amalan syirik
KULIM - Selepas memaparkan kisah penemuan imej pocong melalui akhbar ini keluaran 17 Januari lalu di kawasan lombong Kulim Hi-Tech, Sinar Harian sekali lagi pergi ke tempat kejadian setelah dihubungi oleh seorang penduduk kira-kira jam 7.45 pagi, Khamis lalu dan mendapati ada unsur kegiatan pemujaan dilakukan di tempat lembaga itu dirakam.
Antara barangan ditemui di situ ialah tiga batang setanggi, tiga lilin, tiga biji limau purut, sebiji telur ayam kampung, kain kuning dan tali kuning yang diikat pada batang pokok pinang.
Seorang pengamal perubatan tradisional yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Idham berkata, barangan yang ada di tempat pemujaan itu selalunya digunakan oleh kaki nombor ekor atau bomoh yang sering menggunakan kuasa ghaib ketika menjalankan upacara pemujaan semasa mengubati pesakit mereka.
“Memang ada dalam kalangan bomoh atau dukun menggunakan bantuan kuasa ghaib ketika mengubati pesakit mereka dan mengenakan syarat yang tidak munasabah. Perbuatan ini bertentangan dengan Islam.
“Kuasa ghaib ini akan menggantikan pesakit supaya kelihatan sihat dan akan sakit semula apabila tiba masanya. Dengan cara ini mereka yang mengubati pesakit itu boleh memperoleh keuntungan yang banyak,” katanya.
Menurutnya, segala yang berlaku, baik atau buruk datangnya dari Allah SWT dan seseorang itu seharusnya meminta bantuan dari-Nya dan bukan dari kuasa lain terutama iblis dan syaitan.
“Daripada cara dan barangan digunakan ini, saya berpendapat si pemuja bukanlah seorang kaki nombor sebaliknya ingin membela atau berkawan dengan lembaga itu,” katanya.
Sementara itu Pegawai Agama Islam Daerah Kulim Kedah, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, sebarang perlakuan pemujaan adalah haram dan ia boleh memesongkan akidah pengamal dan mereka yang mempercayainya.
Menurutnya, bagi mereka yang membuat pemujaan bagi tujuan mendapatkan nombor ekor, hasil duit diperoleh itu adalah haram dan tidak boleh diberikan kepada keluarga untuk membeli barangan makanan atau apa sahaja.
“Pemujaan sepertimana yang berlaku ini merupakan satu perbuatan syirik dan khurafat di mana ia sememangnya ditegah dalam Islam. Sekiranya kita perlukan bantuan, mohonlah kepada Allah kerana ‘dia’ lebih mengetahui.
“Bagi golongan yang melakukan pemujaan semata-mata untuk mendapatkan nombor ekor, perbuatan mereka ini salah dan berdosa besar. Saya menasihatkan supaya mereka bertaubat dan kembali ke jalan yang diredai Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan bahawa barangan pemujaan yang berada di bawah pokok pinang berkenaan sudah pun dibuang, kelmarin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment