Sunday, January 30, 2011

Buang Bayi Kt Hospital Pulak


Trend buang bayi depan hospital

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Zainab Nasir melawat bayi perempuan malang berusia dua hari yang ditemui terbiar oleh seorang anggota tentera di tempat letak kereta di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 28 Jan. - Sudah ada kecenderungan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bayi di kawasan hospital dan perbuatan itu perlu dibendung segera sebelum ia menjadi nanah dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri Sembilan, Datuk Zainab Nasir berkata, kes meninggalkan bayi di atas bonet kereta seperti yang berlaku di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini malam Selasa lalu merupakan kes pertama yang berlaku di negeri ini.

Jelas beliau, berdasarkan pemerhatian kes-kes sebelum ini, kebanyakan bayi yang ditemui di tempat pembuangan sampah dan kawasan-kawasan lain.

''Kita kesal apabila kes pembuangan bayi ini dilihat semakin menjadi-jadi dalam masyarakat walaupun pihak kerajaan telah melakukan pendekatan terbaik bagi membendung masalah ini.

''Saya ingin nyatakan kepada mereka, kalau rasa mereka tidak inginkan bayi itu, tinggalkan ditempat yang sesuai dan selamat termasuklah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya selepas melawat bayi berkenaan di HTJ di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah HTJ, Dr. Jaafar Che Mat ketika ditemui berkata, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan akan diserahkan kepada pihak JKM negeri dalam tempoh dua minggu lagi untuk tindakan selanjutnya.

''Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi tersebut di hospital ini.

''Namun, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hospital ini, imej individu terbabit turut gagal diperoleh ekoran kualiti rakaman tidak begitu jelas," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, memberitahu, siasatan lanjut mengenai kes berkenaan masih dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

''Pihak kami tidak menolak kemungkinan bahawa bayi perempuan itu baru sahaja ditinggalkan di situ sebelum ditemui seorang anggota tentera.

''Pada masa sama kita juga sedang giat melakukan pemeriksaan di klinik-klinik dan bidan kampung dalam usaha untuk menjejaki ibu kepada bayi yang ditinggalkan itu," katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.15 malam kelmarin, seorang anggota tentera terkejut selepas menemui seorang bayi perempuan di kawasan tempat letak kereta hospital berkenaan.

Bayi yang ditemui berbalut dengan kain batik selain lengkap berpakaian beserta surah Yassin kemudiannya dihantar ke Wad Kecemasan sebelum menerima rawatan susulan di Wad Rawatan Khas Bayi di hospital yang sama.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment