Thursday, January 13, 2011

Xbergolek


Kejayaan tidak datang bergolek - ADUN


Para peserta dari dunia ketiga bergambar bersama Chuah Boon Seong (duduk, empat dari kanan) dan penduduk Taman Bukit Cermin semasa melawat tempat memproses madu lebah di Taman Bukit Cermin, Mentakab, Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 12 Jan. - Kejayaan dan pengalaman Malaysia menghapuskan kadar kemiskinan luar bandar kini menjadi contoh kepada beberapa negara membangun dan miskin.

Kejayaan negara itu boleh dikongsikan bersama dengan kerajaan dan rakyat di negara-negara berkenaan mengikut acuan dan kebudayaan negara masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong, kejayaan itu tidak diperoleh dengan mudah.

Katanya, kejayaan itu tidak datang bergolek sebaliknya diperoleh daripada kerjasama antara kerajaan dengan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

"Sikap bertolak ansur dan saling menghormati antara kaum seperti kepercayaan, budaya dan agama menjadi kunci atau asas kejayaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan harmoni.

"Keamanan yang dikecapi sejak merdeka hingga hari ini memudahkan usaha kerajaan untuk menghapuskan kadar kemiskinan di kalangan semua kaum.

"Pengalaman ini boleh dikongsi dengan penduduk negara negara dunia ketiga bagi menghapuskan kadar kemiskinan di negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan kehadiran 29 peserta daripada 20 negara dunia ketiga yang melawat pusat memproses madu tualang di Taman Bukit Cermin, Mentakab, dekat sini, baru-baru ini.

Para peserta yang menyertai kursus anjuran Institut Kemajuan Desa (Infra), Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afro-Asia (AARDO) dan Kementerian Luar itu terdiri daripada Iran, Indonesia, India, Syria, Pakistan dan Uganda.

Mereka adalah ketua-ketua jabatan atau kementerian yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan polisi dari negara penerima bantuan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan negara-negara AARDO.

Pada lawatan itu, mereka diberikan penerangan bagaimana kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi membantu penduduk luar bandar menjalankan pelbagai program keusahawanan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Sepanjang tiga hari berada di negeri ini, para peserta dibawa melawat ladang getah dan kelapa sawit RISDA, projek ekonomi kampung di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seperti memproses madu dan perusahaan kraftangan tradisional selain mengunjungi Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah dan Felda Lurah Bilut.

Sehubungan itu, Boon Seong berharap peserta berkenaan dapat memahami dan mempelajari polisi, strategi dan program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh Malaysia.

Melalui pendekatan sedemikian jelasnya, mereka dapat berkongsi maklumat dan pengajaran terhadap usaha-usaha meningkatkan keupayaan golongan miskin menerusi program peningkatan pendapatan.

Beliau yakin dengan meningkatkan kerjasama dan hubungan di kalangan pegawai negara-negara yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar, ia dapat membantu mereka menangani masalah kemiskinan di negara masing-masing.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment