Monday, January 10, 2011

Kalau Sudah Ajal


Ajal dalam tandas

KULIM - Kalau sudah ajal, di mana-mana pun boleh terputus nyawa.

Itulah nasib malang Beramalee Sangga Polee yang menghembuskan nafas terakhir di dalam tandas tempat kerjanya di Taman Perindustrian Taman Waja, di sini.

Lebih menyayat hati, antara yang menemui mayat lelaki berusia 65 tahun itu adalah isterinya, Kanagambal Marathamuthu, 64, yang sedang mencarinya bersama beberapa rakan mereka kira-kira jam 7.15 petang kelmarin.

Beramalee, bekas anggota tentera adalah ketua pengawal keselamatan di kilang berkenaan. Isterinya juga bertugas sebagai pengawal keselamatan di tempat yang sama.

“Kali terakhir saya bertemu suami kira-kira jam 2.30 petang ketika dia sedang menjalankan tugas rondaan,” kata Kanagambal sambil menyeka air mata.

Menurutnya, pada jam 3.15 petang, dia melihat suaminya dari jauh sedang berehat di tingkat atas bangunan kilang itu.

"Apabila habis waktu kerja jam 7 petang, saya mahu balik ke rumah bersamanya. Apabila saya datang ke pos pengawal, saya dapati dia tidak ada di sini lalu meminta bantuan rakan sekerja untuk mencarinya.

"Kira-kira jam 7.15 petang, seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan belakang kilang, masuk ke dalam tandas yang sudah lama tidak digunakan. Ketika itulah, dia temui mayat suami saya terbaring di lantai tandas," katanya.

Kanagambal berkata, ambulans yang tiba tidak lama kemudian membawa mayat Beramalee ke Hospital Kulim (HK) untuk proses bedah siasat bagi mengesahkan punca kematiannya.

Jurucakap polis dalam satu kenyataan selepas bedah siasat selesai berkata, mendiang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Daripada keadaan anggotanya yang sudah keras dan kaku, dia dipercayai mati kira-kira empat jam sebelum ditemui," katanya.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki 82 tahun di Kampung Tunku Putra, Kilang Lama, di sini meninggal dunia kira-kira kam 11.30 malam selepas makan ubat. Mangsa dikatakan mengalami masalah tekanan darah rendah.

No comments:

Post a Comment