Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Thursday, January 20, 2011
Barang Terpakai
Rengit 'lubuk' barang terpakai
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Beberapa orang pelanggan melihat barangan terpakai di penempatan Orang Asli Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, Batu Pahat, baru-baru ini
- Gambar RAJA JAAFAR ALI
BATU PAHAT 31 Dis. - Orang luar yang melawat daerah Rengit dekat sini pasti diajak untuk menjengah seketika ke Kampung Orang Asli Bumiputera Dalam.
Bagi yang kurang mengenalinya mesti tertanya-tanya, apa yang menariknya di perkampungan tersebut? Kalau setakat ingin berkenalan dengan Orang Asli, kawasan lain pun ada.
Sebenarnya kawasan Orang Asli di situ amat istimewa kerana apabila anda menyusuri jalan di kawasan yang sedikit selerak itu, pelbagai barangan terpakai dapat dilihat.
Operasi perniagaan bermula seawal pukul 10 pagi dan berlanjutan sehingga 4 pagi setiap hari dengan deretan kenderaan yang masuk ke situ bertambah pada waktu petang.
Hampir 40 pilihan kedai menjual barangan terpakai di situ dan suasananya semakin sibuk menjelang malam apabila bilangan pengunjung semakin bertambah.
Malah, suasana sesak itu sentiasa dapat dilihat pada cuti hujung minggu dan hari kelepasan am.
Sebut sahaja apa jenis barangan yang diinginkan seperti perkakasan atau perhiasan rumah, kelengkapan pejabat, barangan elektrik dan mainan kanak-kanak semuanya ada, pengunjung hanya perlu menyediakan wang sahaja.
Meskipun barangan yang dijual adalah barangan terpakai, namun ia masih elok kerana kebanyakan peniaga telah membaik pulihnya sebelum menjual semula.
Barangan tersebut bukan sahaja dijual pada harga murah seperti set televisyen 43 inci dijual pada harga RM700, malah set kerusi jati dan sofa diperbuat daripada kulit turut boleh didapati dengan harga RM700.
Lebih menarik, harga yang ditawarkan itu bukan harga 'mati' tetapi masih boleh dirunding mengikuti kebijaksanaan pembeli.
Hampir keseluruhan barangan yang dijual oleh peniaga di situ diambil daripada para pembekal dari Singapura.
Dua minggu sekali atau sebulan empat kali, peniaga di perkampungan berkenaan akan menyeberang Tambak Johor untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal di negara jiran berkenaan.
Menurut seorang penjual, Sharifah Norfadila Muhammad Sam, 24, para pekerja asing di Singapura yang inginkan pendapatan lebih akan mengumpul barangan terpakai majikan mereka untuk dijual kepada mereka.
"Kalau ada yang bekerja di kilang dan ada barang yang rosak sedikit, mereka akan simpan dan kemudian jual.
"Begitu juga ada pembantu rumah yang simpan barangan yang tidak mahu digunakan oleh majikan untuk dijual bagi mencari wang tambahan," katanya.
Menurutnya, dia akan ke sana untuk mencari barangan terpakai tanpa mengharapkan bantuan daripada suami kerana golongan lelaki kurang arif menilai barangan yang digemari oleh pembeli.
"Orang ramai yang datang ke sini lebih berminat membeli barangan keperluan rumah seperti perabot atau pinggan mangkuk dan perhiasan lain," katanya.
Menurutnya, setiap kali pergi ke Singapura, dia akan menukar wang sebanyak RM3,000 untuk membeli-belah di sana bergantung kepada kesesuaian barangan.
Katanya, jika barang yang dibeli perlu dibaiki semula, suaminya, Pitong Baharom, 30, yang bekerja sebagai nelayan akan melakukannya selepas pulang dari laut.
Bagi Pitong, dia tidak pernah belajar di mana-mana institusi untuk membaiki barangan elektrik tetapi kemahiran itu datang sendiri apabila setiap hari 'berkawan' dengan barangan berkenaan.
"Saya memang tidak tahu bagaimana mahu membaiki kipas angin, periuk nasi, televisyen atau barang audio. Tetapi apabila barang ada di hadapan mata, pandai-pandailah saya buat.
"Badan saya ini pun kira sudah kebal sebab sudah tidak terkira berapa kali kena kejutan elektrik. Apa pun apabila sudah sering melakukan pekerjaan yang sama, saya jadi mahir sendiri. Kalau nak hantar ke kedai elektrik, mana nak dapat untung," katanya yang sibuk membaiki sebuah kipas angin.
Menurutnya, setakat ini dia boleh membaiki pelbagai barangan elektrik, tetapi mengakui tidak mahir membaiki telefon bimbit kerana ia berisiko tinggi.
"Kalau ikutkan, telefon bimbit memang murah di Singapura dan silih berganti modelnya. Tapi untuk kami membeli dan menjual di sini susah kerana gajet sebegitu terlalu sensitif.
"Apa kata pelanggan kalau dia bawa balik tiba-tiba telefon tersebut rosak, sedangkan sewaktu di kedai saya, masih elok. Daripada pelanggan hilang kepercayaan, lebih baik kami mengelak daripada menjual barangan tersebut," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA L
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
iklan jual dan beli barang terpakai anda di www.terpakai.my
ReplyDelete