Thursday, January 20, 2011

Barang Terpakai





Rezeki barangan terpakai

PANORAMA biasa di lokasi perniagaan barangan terpakai di Rengit.

BAGI masyarakat Johor, nama Rengit bukan sesuatu yang asing. Malah, pekan kecil yang terletak di pinggir daerah Batu Pahat dan Pontian itu cukup terkenal sebagai lubuk barangan terpakai.

Menjadi satu lokasi wajib dilawati jika bertandang ke bandar tersebut, suasana di perkampungan nelayan itu bertukar sesak dengan kehadiran ribuan pengunjung terutama pada hujung minggu.

Menurut seorang peniaga, Fatimah Samad, 55, keadaan akan lebih meriah ketika Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.

"Hujung minggu memang ramai orang yang datang cari barang tetapi pada bulan puasa, jumlah pengunjung boleh naik dua kali ganda.

"Jalan akan menjadi lebih sesak dan pelanggan tidak putus datang ke rumah. Adakalanya, ada yang mencari barang hingga menginjak hingga ke waktu bersahur," ujarnya ketika ditemui krew Jurnal di rumahnya di Kampung Bumiputera Dalam, baru-baru ini.

Perniagaan perabot dan barangan terpakai sudah menjadi ikon kepada pekan Rengit sejak 27 tahun lalu.

Malah, mungkin ramai yang bersetuju jika ada yang mengatakan pekan tersebut terkenal kerana kegigihan masyarakat Orang Asli dan orang Melayu yang mengusahakan perniagaan tersebut.

Bukan sekadar menjual perabot kayu bermutu tinggi, perkakasan elektrik berjenama, perhiasan rumah atau pejabat, permainan kanak-kanak, beg dan kasut turut ada dijual di sini.

Pendek kata, sebut sahaja jenis barang yang hendak dibeli, semuanya ada dijual di situ. Asalkan poket penuh, apa yang dihajati boleh diperolehi dengan harga lebih murah.

Dengan pilihan yang pelbagai, pembeli bebas berkunjung dari satu kedai ke kedai yang lain untuk meninjau sebelum membeli dengan harga yang sangat berpatutan. Menariknya, daripada harga murah yang ditawarkan, anda masih boleh tawar menawar lagi!

Pelopor

Dalam kunjungan sehari ke perkampungan tersebut, Jurnal berkesempatan bertemu dengan individu yang bertanggungjawab menaikkan ekonomi masyarakat setempat yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada hasil laut kepada peniaga berjaya.

Lebih dua dekad lalu, seorang nelayan, Sirun Bongsu, 64, berulang-alik seminggu sekali ke Singapura untuk berniaga ikan kering, belacan dan sayur-sayur kampung.


WALAUPUN menjana pendapatan ribuan ringgit hasil berniaga perabot terpakai, rutin turun ke laut masih diamalkan walaupun tidak sekerap dahulu.

Pada suatu hari, seorang pelanggannya yang mahu berpindah telah menawarkan kepadanya beberapa perkakasan rumah terpakai dengan harga yang sangat murah namun masih dalam keadaan baik.

Enggan menolak rezeki, Sirun membawa pulang barangan tersebut. Selepas melakukan proses baik pulih dan memberi sentuhan kemasan seperti sapuan minyak atau syelek, dia menjual semula perabot dan barangan lain kepada rakan-rakannya.

"Saya juga tidak menyangka sambutan yang diberikan sangat baik. Malah, selepas dua tiga kali membawa balik barangan dari sana, saya mula tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Kepuasan pelanggan sememangnya memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan perniagaan ini. Bermula secara kecil-kecilan, saya mula mengajak penduduk setempat untuk turut pergi ke negara jiran dan mengajar mereka selok-belok berniaga.

"Kini, hampir 65 peratus daripada penduduk kampung ini mengusahakan perniagaan barangan terpakai, malah ia turut diwarisi anak-anak mereka.

"Dengan adanya perniagaan ini, kehidupan Orang Asli semakin baik. Semakin ramai yang beralih daripada menjadi awak-awak kepada usahawan berjaya," cerita Sirun yang juga Penghulu Kampung Bumiputera Dalam.

Pada 2 Ogos lalu, seramai 40 usahawan Orang Asli yang menjalankan perniagaan barangan terpakai di kampung tersebut menerima kunci lot perniagaan baru yang teratur selepas hampir tiga dekad menjalankan perniagaan di lot perniagaan kayu.


KEBANYAKAN peniaga membaiki sendiri kipas dan perkakas elektrik yang merupakan barangan terlaris dijual.

Lot perniagaan serta bengkel itu yang dibina membabitkan peruntukan RM3.2 juta sejak September tahun lalu adalah perkongsian pintar antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerajaan negeri yang menyediakan tanah 0.92 hektar untuk tapak premis perniagaan tersebut.

Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pembinaan lot perniagaan baru itu memberi keselesaan kepada usahawan Orang Asli selain memudahkan pengunjung membeli-belah.

Simen kayu

Dek permintaan yang tidak pernah putus dan prospek perniagaan yang sentiasa cerah, ramai yang datang kepada Sirun untuk belajar berniaga.

Tidak hanya masyarakat Orang Asli, orang Melayu dan orang Cina turut menjadikan barangan terpakai sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Menyusuri sepanjang jalan masuk ke Kampung Bumiputera Dalam, pengunjung terlebih dahulu melewati Kampung Seri Aman yang kebanyakan dihuni oleh masyarakat Melayu yang turut menjual barangan terpakai.


SET teater mini antara peralatan elektrik yang dijual pada harga murah.

Deretan kedai tersebut kelihatan tersusun, begitu juga dengan barangan yang terpamer di dalamnya. Kebanyakan kedai itu sebenarnya merupakan rumah penduduk yang diubahsuai.

Bagi seorang peniaga, Jasmi Abdul Samad, 51, sudah 13 tahun beliau berkecimpung dengan perniagaan perabot kayu terpakai.

Daripada katil, set ruang tamu, meja makan hingga ke perhiasan rumah terdiri daripada kayu jenis jati, nyatoh dan rusut, semua ada dijual di rumahnya.

Harganya pula dikatakan lebih murah berbanding perabot baru. Contohnya, meja makan lapan kerusi dijual pada harga RM1,300 manakala katil dan set sofa RM800 dan RM2,000 ke atas.

"Seminggu sekali saya akan ke Singapura untuk membeli perabot kayu terpakai dengan modal RM20,000 sebelum dibawa pulang menggunakan lori pada hari yang sama.

"Untuk kepuasan pelanggan dan menjaga kualiti barangan, perabot yang dibeli akan dibaik pulih terlebih dahulu sebelum dijual.

"Jika ada kayu yang pecah atau patah, saya akan cantumkan semula dengan simen kayu, sebelum diberi kemasan akhir seperti disapu syelek atau dicat semula.

"Sekiranya sarung kusyen sudah lusuh, saya juga akan jahitkan sarung yang baru," jelasnya yang menjadikan perabot terpakai sebagai pendapatan utama selain turun ke laut tiga atau empat kali seminggu.

No comments:

Post a Comment