Saturday, January 15, 2011

Air xde Isteri Lari


Kerana air Mat Yatim berjauhan dengan isteri


MAT Yatim Che Mat mengambil
air di perigi buatannya kira-kira 10 meter dari rumahnya
di Kampung Pulau Gadong bagi kegunaan mencuci pakaian dan aktiviti harian lain.

MELAKA 14 Jan. - Akibat ketiadaan bekalan air di rumahnya di Kampung Pulau Gadong di sini, seorang warga emas, Mat Yatim Che Mat, 79, terpaksa tinggal berjauhan dengan isteri, Hasnah Mat Don, 64, sejak empat tahun lalu.

Kesan daripada ketiadaan kemudahan asas itu, kata Mat Yatim, dia dan isteri kini tinggal berasingan sepanjang tempoh tersebut setelah isteri menetap bersama anak perempuan mereka di Johor.

Semuanya gara-gara rumah kampung yang dibina di atas tanah peninggalan keluarga Mat Yatim tidak mempunyai bekalan air sehingga menyukarkan pelbagai urusan harian keluarga itu.

''Saya kasihan melihat isteri yang terpaksa menanggung segala kepayahan hidup akibat ketiadaan bekalan air di rumah kami. Sebab itu, saya suruh dia tinggal dengan anak di Johor, manakala saya tinggal sendirian di kampung ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan Pembela Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ketua Penyelianya, Amir Hamzah Aziz bersama wakil Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di sini, semalam.

Menurut Mat Yatim, bagi menampung ketiadaan bekalan air di rumahnya itu, dia membina perigi yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya bagi kegunaan mencuci pakaian dan aktiviti harian lain.

''Tetapi isteri mahu hidup dengan sempurna. Jika kemudahan asas seperti bekalan air tiada disediakan di rumah, bagaimana dia mahu memasak dan melakukan aktiviti hariannya yang lain.

''Lebih baiklah isteri tinggal dengan anak kami di Johor. Kehidupan dia di sana lebih baik berbanding tinggal bersama saya yang serba kekurangan. Isteri saya akan pulang berjumpa saya sekali dalam sebulan," katanya.

Mat Yatim yang merupakan pesara kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini pernah didatangi pihak tertentu menawarkan bantuan bagi mendapatkan bekalan air untuknya namun sehingga kini masalah itu belum diatasi.

Ujarnya, dia terpaksa bergantung pada belas ihsan penduduk kampung di situ bagi membolehkannya mendapatkan bekalan air bersih bagi tujuan memasak dan minum setiap hari.

Sehubungan itu, kata Mat Yatim, dia merayu kepada SAMB agar segera menyediakan bekalan air di rumahnya kerana sudah tidak sanggup menanggung masalah tersebut selain sering tidak sihat sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, katat Amir Hamzah, ketiadaan bekalan air yang dialami warga emas terbabit akan diselesaikan dalam minggu ini setelah pihaknya selesai kemukakan permohonan tersebut.

No comments:

Post a Comment