Saturday, January 29, 2011

Bonkok Nak Jalan


Minta baiki jalan rosak


KAMPUNG BONGKOK - “Sudah bertahun kami tinggal di sini namun tidak banyak perubahan yang berlaku. Kemudahan juga kurang lebih-lebih lagi keadaan jalan raya yang sudah lama rosak teruk,” kata Tok Batin, O Remoi.

Dia berkata, lebih kurang 230 keluarga di sini masih dahagakan pembangunan di kampung mereka sepertimana kehidupan masyarakat Orang Asli di tempat lain.

Menurutnya, keadaan jalan itu membawa masalah kepada penduduk sekitar untuk keluar masuk kampung serta berurusan di luar.

“Sepanjang jalan di kampung kami ini boleh dikatakan rosak sepenuhnya. Lubang-lubang di tengah jalan pula seolah-olah seperti sebuah kolam kecil. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk jika hujan. Jalan bukan sahaja becak malah mampu menyebabkan kemalangan.

O berkata, beberapa kemalangan kecil pernah berlaku dan penduduk di sini masih bernasib baik kerana tiada yang cedera parah mahupun maut.

Menurutnya, selain itu, kampung itu yang wujud sejak 1930 lagi dan ia bukan sahaja menjadi petempatan Orang Asli malah kawasan kebun serta ladang kelapa sawit.

“Sejak beberapa tahun lepas, saya pernah membuat permohonan kepada pihak atasan untuk membaiki jalan ini supaya selamat digunakan penduduk. Keadaan berlubang di tengah jalan menyebabkan kenderaan kami cepat rosak gara-gara melalui jalan ini.

“Apabila malam, keadaan akan menjadi lebih sukar. Dengan keadaan jalan yang rosak serta gelap, ia menyebabkan pelbagai kemungkinan negatif berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, dia mengharapkan supaya pihak atasan memandang serius berhubung perkara itu dan menyelesaikannya dengan kadar segera supaya jalan raya sepanjang enam kilometer itu dapat memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di sini.

“Mungkin ia membabitkan kos yang tinggi. Tambahan pula, jalan raya ini terletak dalam tanah milik orang lain. Oleh itu, saya harap pertimbangan positif pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah ini. Kalau boleh, kami ingin menikmati kemudahan yang diimpikan selama ini sebelum pilihan raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment